Bahasa

Anwar setuju Selangor tidak adakan pilihan raya serentak

Oleh Md Izwan
September 12, 2012

Anwar menyelar sikap tidak bertanggungjawab Suruhanjaya Pilihan Raya yang masih lagi gagal menyelesaikan beberapa isu penting. — Gambar filePETALING JAYA, 12 Sept — Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju dengan keputusan kerajaan Selangor untuk tidak mengadakan pilihan raya serentak sekiranya parlimen digubal selagi senarai nama pengundi tidak dibersihkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Anwar juga menyelar sikap tidak bertanggungjawab SPR yang masih lagi gagal menyelesaikan beberapa isu penting, terutamanya di Selangor, walaupun banyak aduan dan rungutan dibuat.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustaffa Ali juga bertindak mempersoalkan kredibiliti SPR yang dilihat enggan bekerjasama walaupun pihak Pakatan Rakyat (PR) telah menghantar permohonan untuk bertemu dengan wakil SPR bagi membincangkan isu-isu berkaitan pilihan raya.

Berbeza dengan kerajaan Selangor, Mustaffa berkata hanya Kelantan bersetuju untuk mengadakan pilihan raya negeri serentak dengan pilihan raya umum akan datang manakala Pulau Pinang dan Kedah masih belum lagi membuat keputusan muktamad.

“Berkenaan kes Selangor ini sudah kami bangkitkan banyak kali sebenarnya, malahan kami juga pernah membuat keputusan untuk menghantar delegasi mengadakan perbincangan dengan SPR beberapa bulan lalu.

“Kami sudah menghantar surat kepada SPR tetapi sampai hari ini mereka tidak sedia bertemu. Saya tidak tahulah apa yang cuba disembunyikan oleh SPR ini,” kata Mustaffa.

Ketua pembangkang itu turut membayangkan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan diadakan pada November ini.

Dalam sidang media sama, Anwar juga berkata Pakatan Rakyat akan mengadakan satu konvensyen besar-besaran pada 3 November ini yang dijangka berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Konvensyen ini bertujuan untuk mengumpulkan jentera Pakatan di seluruh negara untuk diberikan pengarahan dalam pilihan raya.

“Ia umpama ‘mega konvensyen’ kerana melibatkan jentera seluruh Pakatan. Cuma saya harap tiadalah halangan daripada mana-mana pihak untuk mengadakan konvensyen ini,” katanya.

Anwar ini turut menyatakan keyakinan beliau yang Pakatan berkemampuan untuk berjaya pada pilihan raya kali ini.

“Kita menjangkakan PRU-13 akan diadakan akhir Oktober atau awal November dan kita yakin akan menawan Putrajaya kali ini.”

Bicara web

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi