KUANTAN, Julai 1 – Perlembagaan Persekutuan wujud bukan hanya sebagai tonggak keamanan sosial, menjadi panduan tentang bagaimana rakyat pelbagai kaum dan agama dalam negara ini boleh hidup bersama secara damai dan penuh toleransi.
Tetapi ia juga harus dicerap sama oleh pemimpin politik yang sepatutnya menjadi model kepada keamanan dan kesejahteraan tersebut.
Pentingnya kefahaman tentang perlembagaan dalam menjamin keamanan ini diperincikan oleh Datuk Mohammad Sahfri Ab Aziz, Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah, Perpaduan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang dalam ucapannya ketika merasmikan Seminar Kenegaraan dalam Konteks Perlembagaan Persekutuan dan Perpaduan Negara di sini.
Mohammad menggariskan antara lainnya kemakmuran yang dikecapi negara sehingga hari ini adalah bersusur-galur dari kerjasama yang sudah diberikan oleh semua kaum dalam mempamerkan komitmen mereka terhadap kefahaman tentang kehendak perlembagaan yang sudah dirangka dan digubal sebegitu rupa, iaitu memenuhi serta menepati kehendak semua kaum di Malaysia.
Ucapan Mohammad dilihat relevan dan sangat bersifat semasa, apalagi dengan banyaknya peristiwa-peristiwa yang bertaraf perdana berlaku mutakhir ini yang mengheret perlembagaan untuk dibahas dengan begitu panjang.
Ambil sahaja isu kemelut politik di Perak dan langkah-langkah drastik kerajaan selepas pengproklamiran Dasar Satu Malaysia oleh YAB Perdana Menteri, semuanya berkait dengan peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sememangnya ini menuntut rakyat memasuki alam pembelajaran semula, belajar tentang perlembagaan bagi memahami peristiwa-peristiwa yang berlaku.
Perlembagaan yang dijunjung selama ini dalam Rukunegara bukan hanya memenuhi kehendak semua kaum, tetapi juga kehendak semua blok kepentingan, termasuklah agama, politik, budaya dan ekonomi.
Maka jika timbul masalah kaum, perpaduanlah yang akan menyelesaikannya berdasarkan kepada kefahaman terhadap perlembagaan, jika timbul masalah agama, perpaduan juga yang akan menyelesaikannya berdasarkan kefahaman terhadap perlembagaan.
Dan jika timbul masalah politik, jalan yang sama akan diambil, perpaduan sama sekali tidak pernah menghalang untuk wujudnya kepelbagaian dalam politik kepartian.
Ini bertepatan dengan ucapan seterusnya oleh Mohammad bahawa adalah satu harapan bilamana wujudnya sebarang isu berbangkit, ia boleh diselesaikan dengan semangat perpaduan, sudah tentulah semangat ini berasaskan kefahaman tentang perlembagaan.
Jelasnya, rakyat seperti gesaan Mohammad patut menghadzami perlembagaan, sementelah lagi pemimpinnya.





