KEMASKINI 1
KUALA LUMPUR, Nov 5 — Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Datuk Seri Nizar Jamaluddin untuk mendapatkan panel 11 hakim bagi mendengar rayuan beliau agar dikembalikan kedudukannya sebagai mentri besar Perak.
Sebaliknya, panel hakim Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff yang mendengar permohonannya pagi tadi, mengarahkan kes utama Nizar diteruskan dengan segera.
Kes itu kini didengar oleh panel lima hakim.
Alauddin mengetuai panel lima hakim yang terdiri daripada Ketua Hakim Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria.
Tiga hakim yang lain ialah Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin, Datuk Mohd Ghazali Mohd Yusoff dan Datuk Abdull Hamid Embong.
Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail yang bertindak sebagai pencelah untuk mentafsir Perlembagaan Persekutuan dan Perak, juga hadir.
Barisan peguam Nizar diketuai oleh Sulaiman Abdullah manakala Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir pula diwakili peguam kanan Cecil Abraham.
Bekas presiden Majlis Peguam, Datuk S. Ambiga bertindak bagi Nizar yang memohon agar anggota panel diperluaskan sehingga 11 hakim.
Ambiga berhujah bahawa jumlah anggota panel perlu diperluaskan demi kepentingan publik demi keadilan dilihat diperoleh memandangkan pertikaian ke atas Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak mempunyai impak secara langsung terhadap Perlembagaan Persekutuan.
Dengan perkembangan terbaru ini, panel hakim akan mendengar beberapa persoalan undang-undang yang dibangkitkan oleh peguam bela Nizar bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan bahawa Zambry adalah mentri besar Perak yang sah.
Antara persoalan itu ialah tafsiran terhadap Perkara 16(6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak 1957 sama ada jawatan mentri besar perlu dikosongkan dalam keadaan beliau telah menasihatkan Sultan agar Dewan Undangan Negeri dibubarkan.
Selain itu, ia melibatkan isu undang-undang berkaitan kuasa memecat mentri besar sedangkan tidak terdapat pembubaran Dewan Undangan Negeri, tiada undi tidak percaya dibuat terhadapnya dan tiada peletakan jawatan itu dibuat.
Panel berkenaan juga akan mentafsir Perkara 16(6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak sama ada isu kepercayaan terhadap mentri besar perlu dibuat dalam sidang Dewan Undangan Negeri atau boleh dibuat di mana-mana sahaja serta sama ada ahli Exco telah dianggap dipecat jika mentri besar enggan meletak jawatan.





