Usul EGM PAS diberi ‘nyawa’ semula esok?

PETALING JAYA, Nov 6 — Pandangan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat agar parti itu mengadakan Muktamar Agung Khas (EGM) kira-kira dua minggu telah dikuburkan oleh Jawatankuasa Kerja Pusat parti itu minggu lalu.

Apakah kemungkinan usul itu akan disuntik semula nyawa esok?

Kira-kira 1,000 perwakilan parti itu dari seluruh negara akan menghadiri seminar politik yang bertemakan “Memperkasa PAS, Memperkukuh Pakatan”.

“Setakat pagi ini kami belum ada apa-apa resolusi. Resolusi yang bakal dibahaskan akan diputuskan hasil perbincangan dalam seminar ini esok,’ kata Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Dzulkefly Ahmad.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS pusat ini yang turut bertanggungjawab dalam merangka usul sempena seminar esok memberitahu, sama ada kemungkinan akan ada usul agar diadakan EGM, terserah kepada para perwakilan.

“Jika perwakilan mahukan diadakan EGM, mereka boleh syorkan... ia hanya syor dan akan dibawa kepada Jawatankuasa Kerja Pusat untuk dibincangkan,” kata beliau yang menyangkal pandangan sesetengah pihak bahawa seminar esok sebagai “sesuatu yang tidak penting”.

“Ramai menganggap seminar ini tidak penting. Sebenarnya seminar ini penting kerana memberikan peluang kepada perwakilan berbincang dengan objektif dan secara terbuka tentang apa isu dalam parti sekarang,” kata beliau.

“Ia (seminar ini) satu bentuk bedah siasat (tentang perkembangan dalam PAS),” katanya lagi.

Kelmarin, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub memberitahu Bernama bahawa seminar politik esok bukan bertujuan membincangkan kemelut kepimpinan parti itu sebaliknya untuk memperkasakan parti demi memperkukuh pakatan pembangkang bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Ini (isu kemelut kepimpinan) tak berbangkit, kira dah selesai. Soal (Pesuruhjaya PAS Selangor) (Datuk) Dr Hassan Ali kita dah serah kepada Jawatankuasa Disiplin parti,” katanya.

Berdasarkan atur cara semasa, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan menyampaikan ucapan utama disusuli dengan pembentangan pandangan oleh dua pemerhati politik iaitu Prof Dr Abdul Aziz Bari dari Universiti Islam Antarabangsa dan Prof Dr Abu Hassan Hasbullah dari Universiti Malaya.

Ia akan disusuli dengan perbahasan perwakilan sebelum meluluskan resolusi.

Seminar sehari itu diadakan bagi menggantikan muktamar khas yang disaran oleh Nik Aziz yang mahu PAS “membersihkan” parti itu daripada segelintir pemimpin yang disifatkan beliau sebagai bermasalah.

Saranan Nik Aziz itu adalah rentetan daripada pandangan penganalisis politik bahawa terdapat beberapa pemimpin PAS yang dilihat tidak bersungguh-sungguh dalam menjayakan kerjasama parti itu dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat.

 

 

Comments (2)Add Comment

Write comment

busy
 

Sponsored Links