Bos PAS: Hadi atau Nik Aziz?

KUALA LUMPUR, Nov 7 – Seminar politik PAS berubah “panas” pada sebelah petang tadi dengan teguran perwakilan Negeri Sembilan yang membangkitkan persoalan “siapa sebenarnya bos (nakhoda) dalam PAS?”

“Siapa pihak yang ada autoriti dalam parti? Presiden? Atau Mursyidul Am?” soal perwakilan Mohd Khairil Anuar Wafa ketika membahaskan ucaptama Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Menurut perwakilan ini, ahli akar umbi kini terkeliru sama ada mereka perlu mematuhi arahan Abdul Hadi selaku Presiden ataupun Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Menteri Besar Kelantan.

“Kami tidak mahu ada dua kapten dalam satu kapal,” kata Mohd Khairil lagi.

Seminar hari ini diadakan ekoran teguran Nik Aziz yang mencadangkan supaya Muktamar Agung Khas (EGM) diadakan bagi menukar ‘dua tiga kerat’ pemimpin dalam parti itu - antaranya Abdul Hadi, Timbalan Presiden Nasharudin Mat Isa, Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali dan Datuk Dr Hassan Ali yang merupakan Pesuruhjaya PAS Selangor.

Nik Aziz mendakwa perlunya ada perubahan dalam “pemain-pemain utama” yang menduduki kerusi kepimpinan PAS di peringkat pusat ini kerana masih berterusan dengan isu kerjasama dengan Umno bagi membentuk kerajaan perpaduan.

Ia bukan satu-satunya teguran Nik Aziz terhadap sekumpulan pemimpin dalam PAS selepas berakhir Muktamar Agung PAS Jun lalu.

Sehubungan itu Mohd Khairil memberi amaran, jika soal itu tidak diperjelaskan lambat laun akan memudaratkan PAS.

“Ini akan menyebabkan kapal (PAS) karam,” katanya lagi.

Mohd. Khairil juga menekankan tentang keperluan kepimpinan pusat untuk bertindak jelas dalam menetapkan dasar-dasar parti dan hala tuju kerana kini “parti seolah-olah bergerak tanpa mengetahui destinasi.”

Sambil merujuk kepada perselisihan dalam Pakatan Rakyat Selangor, beliau juga mengecam kegagalan kepimpinan parti untuk menangani apa jua pertikaian sehingga ia muncul sebagai masalah nasional.

Oleh itu jelas Mohd Khairil, beliau menyokong penuh agar PAS kekal dalam PR untuk mengharungi politik domestik.

Bagaimanapun katanya, ikatan PR perlu jelas tentang objektif bersama dan apa yang setiap komponen perlu lakukan untuk mengekalkan kerjasama semasa.

Beliau juga melahirkan kekecewaan ekoran tindakan mengehadkan ruang bagi PAS membincangkan hak-hak umat Islam dan kaum Melayu meskipun mereka merupakan penduduk majoriti negara ini.

“Apakah pendirian (PAS) dalam soal membentuk negara Islam,” soal beliau.

“Dasar Islam perlu dijelaskan dengan terperinci bagi membolehken penyokong mendapat manfaat pemahaman tentang gerakan Islam,” jelas beliau.

Dalam ucaptamanya pagi tadi, Abdul Hadi berkata, PAS akan terus kekal dalam PR yang turut dianggotai DAP dan PKR untuk memimpin rakyat ke arah perubahan yang hakiki.

Abdul Hadi berkata, PAS akan memainkan peranan lebih aktif bagi memperkukuhkan penyertaannya dalam gabungan parti berkenaan.

Bagaimanapun, Abdul Hadi berkata, PAS perlu mengamalkan keterbukaan dalam mengadakan hubungan dengan semua pihak bagi membawa penyertaan yang memberi kemenangan kepada Islam, mengikut konsep dakwah dan siasah syariah.

 

Comments (9)Add Comment

Write comment

busy