KUALA LUMPUR, Nov 13 — PAS mengambil langkah menutup fail isu amalan bai’ah dengan hanya menganggap tindakan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad melafazkkan ikrar taat setia cerai talak tiga sebagai satu kes terpencil.
Bagaimanapun Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali mengulangi, kesemua calon PAS yang bertanding dalam pilihan raya memang mengambil ikrar bagi menunjukkan kesetiaan mereka kepada parti, tetapi tidak ia melibatkan pendirian menceraikan isteri dengan talak tiga jika mengkhianati parti.
Kata beliau, kesemua calon PAS berikrar kepada Allah bahawa mereka tidak akan "mengkhianati parti dan Islam."
"Kami tidak memisahkan politik daripada Islam, kami bukan sahaja bertanggungjawab kepada rakyat tetapi juga kepada Tuhan," kata beliau yang juga bekas Pengarah Pilihan Raya PAS pusat pada sidang media di sini hari ini.
Sehubungan itu kata beliau, menjadi amalan biasa bagi parti-parti politik negara ini untuk mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak tindakan melompat parti.
"Hampir kesemua parti kecuali PAS meminta calon mereka menandatangani surat tidak bertarikh yang dituju kepada Speaker Parlimen atau Dewan Undangan Negeri, mengatakan hasrat mereka untuk melepaskan kerusi mereka dan surat ini akan digunakan jika ada usaha melompat parti," katanya.
Bagaimanapun jelas Mustafa, oleh kerana PAS adalah sebuah parti Islam, mereka menggunakan pendekatan yang tersendiri.
Mustafa mengakui ikrar taat setia yang diambil oleh Khalid, juga Yang Dipertua PAS Shah Alam, berbeza daripada langkah standard yang digariskan oleh kepimpinan pusat parti.
"Kecuali bagi Selangor, ikrar yang diambil adalah berbeza sedikit dan Khalid mengakui beliau mengambil ikrar yang berbeza, beliau tidak mengulas lanjut, beliau mengatakan itu soal antara beliau dan Tuhan," katanya lagi.
“Kami menganggap ia sebagai pilihan peribadi berdasarkan kepercayaan beliau," kata Mustafa lagi.
Pun begitu, beliau bersetuju bahawa ikrar yang dikaitkan dengan tindakan menceraikan isteri merupakan satu bentuk penghinaan terhadap wanita.
Pada 9 November lalu, Mustafa berkata, PAS memulakan siasatan berhubung amalan bai'ah yang dibuat oleh sesetengah pemimpin parti itu kerana tidak pernah ada sebarang arahan rasmi daripada PAS pusat untuk menceraikan isteri dengan talak tiga jika mereka keluar parti.
Dalam kenyataan ketika itu, Mustafa mengakui memang ada amalan bai'ah untuk memperlihatkaan taat setia kepada parti.
Pendedahan amalan itu mendapat perhatian banyak pihak dengan ada yang mengkritik ia amalan kuno dan tidak masuk akal.
Amalan sumpah taat setia dalam bentuk itu turut disahkan Khalid dan Setiausaha Badan Perhubungan PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman Jumaat lalu.
Khalid menjelaskan, langkah itu bagi memastikan tiada mana-mana wakil rakyat mengkhianati parti dengan menyertai parti lain.
Khairuddin pula berkata, amalan bai'ah terhadap isteri mana-mana pemimpin PAS yang mengkhianati parti itu telah lama wujud.
Pendedahan itu dikatakan mula tersebar selepas satu majlis dialog antara beberapa pimpinan PAS di Selangor dengan sembilan blogger baru-baru ini.





