Anak gesa Felda tidak abai kebajikan generasi kedua peneroka

Oleh Zukri Aksah

KUANTAN, Nov 20 — Generasi kedua Felda selama ini berhadapan dengan masalah hak perwarisan daripada ibu bapa mereka selaku peneroka sebahagian besarnya kerana penubuhan Felda yang tertakluk di bawah Akta Penempatan Berkelompok 1960.

Ini ditambah dengan kurangnya komitmen Felda dalam soal tanah, rumah dan kerjaya generasi kedua ini.

Misalnya, lot-lot kosong yang masih ada di Felda selama ini tidak dijadikan simpanan keutamaan untuk generasi ini, sebaliknya diserahkan kepada Felda Plantations.

Akibat ketidaktentuan nasib, permasalahan, kedudukan dan masa depan generasi kedua Felda ini yang selama ini seperti tidak dipedulikan walaupun mereka adalah waris yang berhak serta mewakili kelompok yang besar, Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) telah mengambil inisiatif melancarkan siri jelajah kebangsaan menemui ketua-ketua kerajaan negeri bagi menyampaikan memorandum mereka.

Presiden Anak, Mazlan Aliman menjelaskan Pahang telah dipilih sebagai destinasi pertama dalam siri jelajah ini memandangkan negeri ini menempatkan kawasan tanah rancangan Felda terluas di negara ini yang merangkumi 40 peratus dari keseluruhan kawasan Felda dengan 115 buah tanah rancangan dan 43,123 orang peneroka, serta telah melahirkan lebih kurang 200,000 orang waris generasi kedua.

Pertemuan dengan Menteri Besar Pahang telah berlangsung pada 17 November lalu di pejabat Menteri Besar di Wisma Sri Pahang. Anak yang diketuai oleh Mazlan. Turut hadir Ketua Dewan Pemuda PAS Pahang, Suhaimi Saad.

Mazlan yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat sendiri mengakui yang rombongannya diterima baik oleh Adnan, yang memberi janji untuk meneliti memorandum yang diserahkan serta memberi komitmen untuk berusaha memenuhi tuntutan-tuntutan yang dikemukakan walaupun tidak berupaya memberi jaminan keberhasilannya.

Anak telah menyerahkan memorandum tuntutan lima perkara iaitu:

Pertama: Memberikan lot tanah kosong di Felda bagi perumahan generasi baru kerana tanah merupakan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Projek perumahan ini boleh dilaksanakan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di bawah program Rumah Mesra Rakyat. Felda Sri Jaya, Pagoh Johor telah berjaya merintis idea ini dengan siapnya 95 unit rumah generasi kedua.

Atau memberi kebebasan kepada anak kepada peneroka yang telah mendapat hakmilik tanah untuk mendirikan rumah kediaman mereka sendiri. Sokongan dan dokongan kerajaan negeri akan mempercepatkan segala prosedur yang harus dipatuhi kerana selama ini generasi kedua berdepan karenah pentadbiran Felda yang begitu lokek untuk melepaskan pegangan tanah yang mereka dakwa miliknya.

Kedua: Batalkan Felda Plantations. Dasar kerajan membuka Tanah Rancangan Felda ialah membuka ruang pemilikan tanah kepada rakyat khususnya orang Melayu.

Selepas tahun 1990, dasar ini dihentikan dan diwujudkan Felda Plantations yang berkonsepkan estet yang menekan peserta tanpa jaminan masa depan. Walhal, seluas 367,710 hektar tanah milik kerajaan negeri telah dikorbankan.

Adalah dianggarkan 79,000 anak peneroka beroleh manfaat jika Felda Plantations dimansuhkan dan ditukar kembali formatnya kepada pengambilan peneroka. Kerajaan negeri boleh memainkan peranan aktif membuat desakan tersebut.

Ketiga: Menaiktarafkan penempatan Felda yang telah mendapat hak milik. Daripada sejumlah 317 rancangan Felda, 77 daripadanya telah selesai membuat bayaran kembali dan beroleh hak milik, maka satu keperluan mendesak untuk penempatan ini ditadbir sepenuhnya oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di bawah kerajaan negeri.

Sudah sampai masanya kedudukan Felda sebagai ejen pengurusan dikaji semula. Peneroka dengan bantuan anak mereka sudah mampu berdikari tanpa cengkaman Felda, hutang piutang, bermacam-macam perjanjian dan sekatan. Pendapatan mereka jauh lebih lebih lumayan apabila tiada penglibatan pihak ketiga yang mengaut keuntungan melampau.

Generasi kedua Felda yang berpendidikan mampu untuk mentadbir penempatan mereka sendiri dengan kerjasama erat agensi kerajaan negeri termasuk badan-badan seperti Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Persatuan Pekebun Kecil serta menikmati subsidi seperti masyarakat di kampung.

Felda sepatutnya hanya berfungsi sekadar untuk urus niaga kedai D’Mart, pemasaran komoditi dan lain-lain berasaskan persaingan semasa. Pendekatan ini membuka ruang penyertaan generasi muda lebih terarah dan jaminan masa depan lebih baik.

Keempat: Menangani gejala sosial. Pendekatan menangani gejala sosial mesti lebih seimbang dengan memperbanyak aktiviti keagamaan. Penekanan kepada program sukan sama ada Akademi Bolasepak Felda, Rally Felda, Liga Futsal Felda dan pembinaan Kompleks Sukan Komuniti sememangnya wajar tetapi kesungguhan mempelbagaikan program kerohanian menjadi tanda tanya.

Jika pasukan Rela, Rukun Tetangga dan sukarelawan boleh diwujudkan untuk membantu polis memerangi jenayah, sudah sampai masanya sukarelawan membanteras maksiat juga ditubuhkan.

Penglibatan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Pemadam dan Pengasih mesti bermula di peringkat sekolah lagi dan keberkesanan pembangunan belia melalui Kem Bina Remaja, kursus pembinaan sahsiah dan Rakan Waja mesti dikaji semula.

Percambahan idea bagi menyegarkan semula aktiviti golongan muda harus disegerakan dengan penyertaan semua pihak tanpa mengira latar belakang agama dan politik. Penekanan berlebihan aspek sukan dan hiburan hingga menenggelamkan soal pembinaan akhlak telah dirasai padahnya pada ketika ini.

Kelima: Memperbanyakkan peluang pendidikan dan kemahiran. Pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Felda di Wilayah Trolak walaupun terlewat 20 tahun, sangat dialu-alukan.

Pakej pendidikan tajaan Felda dengan institusi swasta umpamanya Universiti Lim Kok Wing seharusnya bersifat sementara dengan langkah segera mewujudkan pusat pendidikan berskala besar milik Felda seperti dilakukan Petronas dan TNB mesti dilakukan dengan fokus kepada jurusan perladangan dan bioteknologi.

Matlamat awal ‘satu Felda satu produk pendidikan/kemahiran’ mungkin suatu perintis ke arah melahirkan lebih ramai belia Felda yang berdaya saing.

Justeru, sokongan Adnan terhadap memorandum ini dilihat mampu menepis anggapan bahawa pihak berkuasa tidak berminat untuk membela nasib dan masa depan generasi kedua serta ketiga Felda.

Bagi Anak pula, Felda sebagai sebuah agensi yang kaya dengan keuntungan melebihi RM2 bilion setahun hasil dari keringat peneroka seharusnya tidak lupa dan tidak mengabaikan kebajikan generasi keduanya.

Comments (0)Add Comment

Write comment

busy