TERKINI
Oleh Syed Jaymal ZahiidPETALING JAYA, Nov 22 — Bedah siasat kedua ke atas mayat setiausaha politik Exco Selangor Teoh Beng Hock, yang kematiannya mencetuskan kontroversi empat bulan lalu, selesai kira-kira 3 petang tadi.
Ia berlangsung kira-kira enam jam termasuk proses imbasan komputer dan sinar-X yang bermula sekitar 9.30 pagi.
Pada awalnya proses itu dijangka berakhir tengah hari.
Keluarga Teoh yang diketuai adik perempuannya hari ini, Lee Lan memberitahu para pemberita bahawa mereka dimaklumkan oleh pakar forensik dari Thailand Dr Porntip Rojasunand mengenai bedah siasat tetapi tidak dapat memberikan butiran terperinci.
“Kami dimaklumkan (tentang bedah siasat) tetapi kami tidak faham penjelasan Dr Porntip memandangkan beliau menggunakan banyak istilah saintifik,” katanya di pekarangan Hospital Sungai Buloh petang tadi.
Dia cuba menenangkan wartawan yang berhimpun sambil meminta mereka yang menanti lebih enam jam supaya bersabar sehingga bulan depan.
“Tunggu hingga inkues disambung semula,” katanya.
Inkues dijadual untuk disambung pad 9 Disember ini.
Ketika ditanya bila laporan bedah siasat akan siap, Lee berkata, dia tidak tahu tentang tarikhnya.
Peguam keluarga Teoh, Gobind Singh Deo meninggalkan kawasan hospital bersama Dr Porntip lebih awal tanpa menemui wartawan.
Terdahulu, Gobind memberitahu wartawan bahawa mayat mendiang yang digali semula pagi semalam akan dikebumikan kembali di Taman Peringatan Nirvana, Semenyih Selasa ini.
Ia juga disahkan oleh keluarga Teoh.
Terdahulu ketika ditemui wartawan pagi tadi, Gobind berkata, kerja-kerja bedah siasat kali kedua, yang diarahkan oleh koroner akan mengambil masa antara tiga hingga lima jam.
Bedah siasat kali kedua dijalankan oleh Ketua Jabatan Patologi Hospital Sungai Buloh, Dr Shahidan Md. Noor.
Dr Shahidan dibantu oleh Dr K Saravanan iaitu saksi ke-25 inkues dan pegawai perubatan dari Jabatan Telinga, Hidung dan Tekak, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.
Ia disaksikan oleh Dr Porntip yang dilantik oleh kerajaan negeri Selangor dan pakar forensik bebas Prof Dr Peter Vanezis dari United Kingdom yang mewakili Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Turut menyaksikan proses bedah siasat ialah dua pakar yang pernah membedah siasat Teoh iaitu Dr Khairul Azman Ibrahim dan Dr Prashant Naresh Samberkar. Kedua-dua mereka juga merupakan saksi inkues Teoh.
Anggota keluarga Teoh juga kelihatan di pekarangan dewan bedah siasat Hospital Sungai Buloh sejak pagi tadi. Mereka dilihat turut mengadakan upacara doa selamat.
Awal bulan ini, Koroner Azmil Munthapa Abas mengarahkan Dr Shahidan dengan dibantu oleh Dr Saravanan yang merakamkan gambar agar menjalankan bedah siasat terbaru ini.
Inkues sedang berlangsung setelah Teoh ditemui mati pada 16 Julai lalu di koridor tingkat lima Plaza Masalam selepas ditemu siasatl oleh pegawai SPRM Selangor di tingkat 14, bangunan itu berhubung dakwaan salah guna peruntukan kerajaan negeri.
Mayat Teoh digali semula atas permintaan keluarganya ekoran keterangan Dr Porntip bahawa 80 peratus kemungkinan menunjukkan Teoh dibunuh, bukannya membunuh diri.
Oleh itu prosiding inkues ditangguhkan sehingga 9 Disember ini untuk mendengar keterangan ahli Majlis Perbandaran Kajang, Tan Boon Wah yang terlibat dalam kes saman sivil terhadap SPRM yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi kelmarin.






Semua tak betul...SPRM,POLIS semua tak betul..Ahli Politik jer nampak yang betul..