Cucu imam diburu bantu siasatan kematian 4 beranak

SEREMBAN, Jan 6 — Cucu lelaki imam itu yang dikenali sebagai Rashidi Ismail, 34, kini menjadi buruan polis bagi membantu siasatan berhubung kejadian empat beranak yang mati dibunuh dengan kejam pagi semalam.

Mayat mereka ditemui berlumuran darah di dua rumah yang terletak bersebelahan di Kampung Batang Rokan, kira-kira enam kilometer dari Gemencheh dekat sini.

Lelaki itu didapati hilang bersama motosikal Suzuki berwarna biru bernombor plat BAY 2805, kata Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Osman Salleh.

Dalam kejadian itu, empat orang yang terdiri daripada sepasang warga emas, Atan Daud, 90 dan isterinya Sutiah Katas, 80, menantu mereka, Ismail Awang, 76, dan cucu Siti Khadijah Ismail, 22, ditemui mati berlumuran darah di dua buah rumah yang terletak bersebelahan di kampung berkenaan.

Mayat keempat-empat mereka ditemui pada kira-kira pukul 3.30 petang semalam oleh adik Siti Khadijah yang baru pulang dari sekolah.

Tiga mayat ditemui dalam keadaan terbaring di ruang tamu dalam rumah imam itu manakala mayat Siti Khadijah ditemui di ruang tamu rumah bersebelahan.

Mayat Ismail ditemui dalam keadaan putus kepala sementara anaknya Siti Khadijah ditemui dengan pisau masih terpacak di dada manakala Atan dan Sutiah ditemui dengan kesan tetakan pada tangan, seolah-olah mempertahankan diri dari serangan, Osman dilaporkan berkata.

Polis menemui senjata yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu di sekitar kawasan rumah terbabit.

“Polis percaya serangan itu berlaku pada sebelah pagi dan kami akan berusaha memastikan mereka mendapat pembelaan. Ini perbuatan kejam yang berlaku dalam sebuah keluarga,” kata Osman semalam.

Sementara itu, ketua kampung Bukit Rokan Jamaluddin Biee berkata imam berkenaan tinggal di kawasan yang agak terpencil dalam kawasan ladang getah itu, bersebelahan dengan rumah menantunya.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hassan dipetik Bernama berkata kejadian itu adalah suatu yang amat mengejutkan dan berharap siasatan dapat diselesaikan segera oleh pihak polis.

“Saya bagi pihak kerajaan negeri amat bersimpati dan kita berdoa semua arwah berada di kalangan orang yang soleh,” katanya kepada pemberita ketika meluangkan masa kira-kira setengah jam bersama beberapa anggota keluarga berkenaan di bilik mayat Hospital Tuanku Jaafar di sini malam tadi.

 

Comments (0)Add Comment

Write comment

busy