MELAKA, Feb 2 — Kerajaan negeri Melaka sekali lagi menggesa Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim supaya bersikap terbuka dengan menerima bayaran tunggakan cukai tanah sebanyak RM5.4 juta yang telah dijelaskan oleh Yayasan Melaka.
Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata Khalid (gambar) sepatutnya tidak menjadikan alasan untuk enggan menerima bayaran itu bagi membantu Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) Selangor.
“Saya harap Khalid akan bekerjasama untuk menerima bayaran tunggakan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan sempena lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Pantai Kelebang di sini.
Najib akan melawat Melaka pada Khamis ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar hari ini mengenai keengganan kerajaan negeri Selangor untuk melanjutkan tempoh pembayaran cukai tanah milik YBK di Serendah, Rawang, Selangor yang berakhir, Jumaat lepas.
Khalid berkata sudah terlewat bagi Yayasan Melaka untuk membantu YBK melunaskan cukai tanah seluas 526 hektar milik badan itu yang tertunggak selama lapan tahun.
Mohd Ali berkata Khalid sepatutnya prihatin dan membantu YBK bagi meneruskan agenda membantu golongan miskin di negeri itu.
“Yayasan Melaka melalui anak syarikatnya Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) Finance House semalam telah membuat bayaran sebanyak RM5,439,462.80 yang dimasukkan ke akaun Perbendaharaan Negeri Selangor,” katanya. — Bernama





