PAS gesa kerajaan tangguh gubal GST

SHAH ALAM, Feb 7 - PAS hari ini meminta kerajaan menangguhkan pembentangan bacaan kali kedua rang undang-undang Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada persidangan Parlimen yang dijadual Mac ini bagi membolehkan rang undang-undang itu diteliti terlebih dahulu.

Naib Presiden parti Datuk Mahfuz Omar berkata sebuah jawatankuasa khas Parlimen yang dianggotai pihak kerajaan dan pembangkang wajar ditubuhkan bagi tujuan itu memandangkan GST melibatkan kepentingan banyak pihak.

Di bawah jawatankuasa khas ini pula wajar ditubuhkan sebuah jawatankuasa kecil yang disertai persatuan pengguna, pengilang, akauntan dan percukaian bagi memperhalusi GST itu, katanya kepada pemberita selepas menghadiri persidangan meja bulat berkaitan pelaksanaan GST anjuran parti itu di sini.

“Kami tidak menolak GST secara total tetapi mahu kepastian daripada kerajaan bahawa apabila GST dilaksanakan cukai pendapatan individu, syarikat dan koperasi diturunkan lagi sebab GST akan membebankan pengguna,” katanya.

Beliau berkata pihaknya juga akan menghantar surat rasmi kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung perkara itu. Rang undang-undang itu telah dibentang untuk bacaan kali pertama pada persidangan Parlimen Disember lepas. – Bernama

 

Comments (0)Add Comment

Write comment

busy