Oleh G. Manimaran
KUALA LUMPUR, Feb 9 — Parti Keadilan Rakyat (PKR) yakin kedudukan parti itu di Wilayah Persekutuan tidak akan terjejas walaupun bendaharinya memutuskan untuk kembali ke pangkuan Umno malam tadi.
Setiausaha PKR Wilayah Persekutuan Azman Abidin berkata Norasidi Salim yang menyertai semula Umno tidak sampai 24 jam selepas meletakkan jawatannya sebagai bendahari tidak sama sekali akan menggugat parti itu untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13.
“Norasidi Salim bukan pemimpin utama PKR Wilayah, dia hanya menyertai kami selepas pilihan raya umum lalu dua tahun lalu, selepas PKR dan Pakatan Rakyat mencatat kejayaan besar di Wilayah.
“Jadi langkah beliau tidak akan mendatangkan kesan besar,” kata beliau kepada The Malaysian Insider hari ini.
“Sepanjang tempoh bersama PKR pun beliau tidak memberi apa-apa sumbangan kepada parti. Jadi kami tidak percaya ia akan menjejaskan kedudukan kami, Pakatan di sini,” kata beliau sambil menafikan 100 ahli PKR Bandar Tun Razak keluar parti bersama Norasidi.
“Laporan mengatakan 100 orang ahli dari bahagian Bandar Tun Razak keluar PKR adalah tidak benar. “Berdasarkan maklumat yang ada pada saya, hanya Norasidi seorang sahaja ada jawatan dalam PKR Wilayah Persekutuan dan keluar parti,” katanya.
Laporan hari ini menyebut turut keluar bersama Norasidi ialah empat lagi anggota PKR iaitu Timbalan Ketua Bahagian PKR Putrajaya Azmi Hassan, Ketua Penerangan PKR Wilayah Persekutuan Ishak Hamzah, anggota jawatankuasa PKR Putrajaya Daud Ahmad dan penggerak reformis 1999-2008 Mohd Solleh Ibrahim.
Oleh itu, Azman menjelaskan, laporan bahawa Ishak adalah ketua penerangan juga tidak benar. “Ishak dan Azmi cuma ahli biasa, mereka tidak memegang apa-apa jawatan dalam parti,” katanya. Malah semalam Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan Azmin juga menyifatkan Norasidi sebagai tidak relevan.
Semalam, Norasidi berkata keputusan itu diambil dengan rela hati tanpa desakan daripada mana-mana pihak. “Ia dibuat setelah difikirkan dengan masak-masak kedudukan kami dalam PKR dan menghalusi perjuangan parti.
“Apa yang kami dapati PKR tidak ada perjuangan membela rakyat yang jelas, malahan setiap tindak tanduk kepimpinan parti diselubungi oleh agenda persendirian,” kata beliau selepas menyerahkan borang keanggotaan kepada Timbalan Presiden Umno, yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan, Tan Sri Muhyiddin Yassin.





