Amin Iskandar adalah Pengarah Eksekutif National Institute for Electoral Integrity (NIEI), sebuah badan bukan kerajaan yang aktif dalam program pendidikan pengundi dan pemantauan pilihanraya.

Beliau juga adalah pemilik blog

http://aminiskandar.com

1 Malaysia: Diantara realiti dan fantasi

JUN 29 — Sebaik sahaja diangkat menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-enam, Datuk Seri Najib Razak melancarkan gagasan “Satu Malaysia” atau dalam Bahasa Inggeris di panggil “1 Malaysia”.

Selain daripada itu, Najib turut melancarkan slogan "rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan", mengingatkan kita slogan-slogan di zaman Perdana Menteri terdahulu seperti "Bersih, Cekap dan Amanah" dan "Cemerlang, Gemilang dan Terbilang".

Diantara komponen terpenting dalam gagasan 1 Malaysia yang dibawakan Perdana Menteri ialah rakyat Malaysia tidak kira Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Murut, Melanau dan lain-lain bersatu sebagai bangsa Malaysia.

Najib mengakui bahawa konsep 1 Malaysia ini bukanlah satu konsep baru. Ia adalah kesinambungan daripada kepimpinan negara yang terdahulu dan bercita-cita untuk menyatupadukan rakyat Malaysia dari pelbagai latarbelakang kaum dan agama.

Dalam Wawasan 2020 yang dicadangkan semasa era pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad, turut mensasarkan pada tahun 2020, rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama akan hidup sebagai bangsa Malaysia.

Malaysia hanya tinggal 11 tahun sebelum tahun 2020. Jika dilihat keadaan semasa dan politik hari ini, bangsa Malaysia sukar diwujudkan menjelang tahun 2020 nanti.

Setelah lebih 50 tahun Malaysia merdeka, negara masih lagi membicarakan tentang rancangan untuk menyatupadukan rakyat sebagai satu bangsa walaupun itulah perkara yang harus ditekankan dan dilaksanakan diawal penubuhan Malaya dan Malaysia dahulu.

Negara jiran kita Indonesia yang merdeka 12 tahun sebelum kita telahpun menyelesaikan permasalahan yang ingin diselesaikan oleh Malaysia pada ketika ini di era Presiden pertama mereka, Sukarno.

Di Indonesia, semua rakyat yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang etnik dan agama bersatu sebagai bangsa Indonesia. Mereka bercakap dalam satu bahasa yakni bahasa Indonesia. Mereka sudah selesai dengan isu pokok tersebut dikala jirannya Malaysia masih lagi terkial-kial mencari hala tuju untuk mewujudkan “bangsa Malaysia”.

Penulis bersekolah disebuah sekolah yang terletak ditengah-tengah bandar Kuala Lumpur. Najib dikatakan pernah bersekolah disekolah ini sebelum beliau melanjutkan pelajarannya ke luar negara.

Semenjak berada di bangku sekolah rendah lagi, kami telah diajar untuk menghormati kawan-kawan dari pelbagai kaum dan agama. Pihak sekolah akan mengadakan sambutan perayaan-perayaan seperti Hari Raya, Tahun Baru Cina dan Deepavali untuk mendidik anak-anak agar mengenali dan menghormati sesama sendiri. Saya percaya, jika di sekolah tersebut mempunyai pelajar-pelajar Iban dan Kadazan, Hari Gawai dan Tadau Kaamatan pasti akan turut disambut oleh pihak sekolah!

Pada ketika itu, tidak pernah terlintas di hati penulis untuk melihat kawan-kawan lain sebagai orang Cina atau orang India sehinggalah kami mula mendapat kad pengenalan. Ini adalah kerana dalam kad pengenalan, kami mula dibeza-bezakan mengikut agama.

Semasa dalam Tingkatan Dua, penulis berpindah ke sekolah lain yang terletak di kawasan pinggir bandar di kawasan bekas perlombongan bijih timah. Masih lagi bersekolah di sekolah kebangsaan yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama.

Apabila di sekolah menengah, jurang diantara kaum sudah mula melebar sedikit demi sedikit. Tambahan lagi dalam usia-usia sebegitu “sifat memberontak” dan melawan begitu tinggi di dalam sanubari pelajar-pelajar.

“Sifat memberontak” ini amat mudah diterjemahkan untuk mencari “pasal” dengan kawan-kawan daripada bangsa-bangsa lain. Telah kelihatan polarisasi mula berlaku dimana pelajar-pelajar Melayu bercampur gaul dengan sesama mereka. Begitu juga dengan pelajar-pelajar Cina dan India.

Interaksi diantara kaum yang berbeza hanyalah dalam program-program yang formal dan hanya apabila disuruh oleh guru. Setelah selesai program atau aktiviti yang melibatkan percampuran antara pelajar pelbagai kaum, pelajar-pelajar akan mula mencari kaum masing-masing untuk berbual dan melakukan aktiviti-aktiviti.

Selepas mendapat keputusan SPM, perpisahan antara kaum mula berlaku lagi. Pelajar-pelajar Melayu yang mendapat keputusan cemerlang dapat masuk terus ke IPTA sedangkan teman-teman daripada bangsa lain terpaksa menghabiskan masa dua tahun dalam Tingkatan Enam sebelum diterima masuk ke IPTA awam.

Bagi pelajar-pelajar Cina dan India yang datang dari keluarga berada, meraka dapat terus memasuki kolej-kolej swasta atau keluar negara.

Di universiti, polarisasi diantara kaum semakin parah. Jelas kelihatan mahasiswa-mahasiswa terpecah-pecah mengikut kaum dan agama mereka. Di kolej-kolej kediaman juga, mahasiswa-mahasiswa dipisah-pisahkan mengikut kaum dan agama.

Pernah ada cadangan daripada sebuah kelompok mahasiswa agar mahasiswa dari pelbagai bangsa dan agama dicampur adukkan didalam setiap bilik di kolej-kolej kediaman.

Cadangan ini mendapat bantahan hebat daripada Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti dengan alasan sukar bagi mahasiswa untuk bersembahyang jika mahasiswa dari pelbagai bangsa dan agama tinggal sebilik.

Sedangkan di kolej kediaman tersebut telah mempunyai surau dan daripada apa yang saya perhatikan di kolej kediaman tersebut, hanya lebih kurang 5 peratus sahaja mahasiswa di kolej tersebut yang terdiri daripada golongan beribadat.

Jika pensyarah tidak mewajibkan sesebuah “kumpulan tugasan” agar bersifat Malaysia, kemungkinan besar, penulis sendiri juga tidak mungkin mempunyai kawan-kawan bangsa lain.

Persatuan-persatuan mahasiswa dalam universiti pada ketika itu juga didominasi oleh persatuan-persatuan yang berasaskan kaum dan agama. Agak kurang sekali persatuan-persatuan yang mempunyai ahli yang berbilang bangsa dan agama.

Ertinya, sejak mula mengenali politik, mahasiswa telah diajar dengan persatuan-persatuan yang berasaskan kaum dan agama. Tidak kelihatan usaha yang serius daripada pihak pentadbir universiti untuk mencegah perkara ini daripada terus membarah.

Lebih tenat lagi apabila persatuan-persatuan mahasiswa yang berasaskan negeri-negeri turut popular dikalangan mahasiswa. Sudahlah dipisahkan mengikut kaum dan agama, mahasiswa kini turut dipisahkan berdasarkan negeri asal mereka!

Begitulah parahnya polarisasi antara kaum yang berlaku di universiti ketika penulis dibangku universiti pada akhir 90an sehinggalah diawal-awal abad millenium.

Penulis kadangkala terfikir apakah masa depan Malaysia pada masa akan datang?

Jika mahasiswa-mahasiswa universiti yang bakal menjadi pemimpin negara pada masa akan datang hidup dengan keadaan polarisasi antara kaum yang serius, apa lagi rakyat diluar sana yang tidak berpeluang untuk mendapat pendidikan tinggi?

Menurut Yunus Ali, salah seorang aktivis mahasiswa tahun 70an, di zaman beliau menuntut di universiti, majoriti mahasiswa universiti yang berbilang kaum dan agama pada ketika itu hidup dalam keadaan harmoni.

Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) pada ketika itu terdiri daripada pimpinan yang pelbagai bangsa dan agama. Diantara dasar PMUM pada ketika itu adalah mewajibkan setiap mahasiswa yang tinggal dikolej-kolej kediaman agar tinggal bersama bangsa yang berbeza.

Dasar ini telah terbukti merapatkan jurang diantara mahasiswa-mahasiswa pelbagai kaum dan agama. Jika Perdana Menteri serius dengan usahanya untuk mewujudkan bangsa Malaysia, mengapa tidak dilaksanakan kembali dasar ini sekurang-kurangnya di IPTA-IPTA seluruh negara?

Selagi rakyat tidak dilatih untuk hidup bersama-sama tanpa mengira bangsa dan agama, tidak mungkin 1 Malaysia, bangsa Malaysia atau Malaysian Malaysia akan berjaya. Retorik tersebut akan terus dikitar sepanjang zaman sehinggalah bumi ini berakhir.

Comments (8)Add Comment

Write comment

busy
 

Sponsored Links