SEPT 4 – Tunjuk perasaan, berarak dengan tak ada permit dan ingkar arahan polis – ada orang kata ini manifestasi demokrasi dan kebebasan. Ada orang kata inilah jalan terakhir. Ada yang dakwa ia lebih berkesan daripada petisyen dan bahas Parlimen.
Memang betullah Perlembagaan jamin hak kita berkumpul. Tapi Perlembagaan juga letakkan had dan syarat supaya orang yang berkumpul itu tidak menyebabkan kekacauan atau tidak diancam oleh pihak lain. Pokok pangkalnya Perlembagaan menjamin hak orang ramai di samping menjamin keselamatan, keamanan dan kesejahteraan.
Kunta Kinte berasa bimbang dengan kegiatan tunjuk perasaan yang semakin menjadi-jadi sekarang. Takut benda ini terkeluar daripada kawalan dan berubah menjadi sesuatu yang buruk. Apa lagilah bila tunjuk perasaan itu ada kena mengena dengan hal agama.
Jadi pada pendapat Kunta Kinte, dalam hal agama ini kita kenalah faham sejarah dan faham serba sikit mengenai agama dan kepercayaan yang diamalkan di negara kita ini. Maaflah jika Kunta Kinte kata banyak orang Malaysia tidak faham amalan agama satu sama lain, walaupun berjiran dan berkampung.
Isu rumah ibadat tidak akan selesai jika pihak yang berkuasa dan pihak yang berkepentingan tidak faham. Kunta Kinte kata macam ini, orang Islam ada masjid dan surau saja. Orang Kristian ada gereja dan chapel (gereja kecil).
Walaupun bilangan penganut Kristian tidak ramai, dianggarkan hanya 9.1 peratus mengikut bancian 2000, tetapi mereka ada banyak gereja sebab mereka ada banyak mazhab dan pecahan mazhab. Ada Anglican, Baptist, Brethren, Lutheran, Methodist, Presbyterian, Roman Katolik dan gereja bebas.
Orang Hindu pula ada banyak Tuhan dan dewatanya. Daripada amalan dan tradisi Hindu itu muncullah 330 juta (ya 330 juta) “makhluk luar biasa” yang dijelmakan dalam bentuk patung yang kemudian dipuja dan disembah. Tuhan dan “datuk” (deities) utama orang Hindu adalah Krishna, Rama, Shiva, Kali, Durga, Vishnu, Ganesha, Hanuman, Murugan, Venkateshwara, Nataraja dan Lakshmi.
Maka di mana saja ada tempat yang sesuai atau ada kumpulan yang berasa mahu beribadat kepada mana-mana Tuhan dan dewata ini, mereka pun bina kuil. Mula-mula kecil dan dengan tidak ada kebenaran.
Lama-lama jadi besar dan timbullah masalah atas tanah siapa kuil itu dibina dan gangguan lalu lintas yang disebabkannya. Bila diarah pindah atau dirobohkan, maka jadilah ia isu agama, politik dan perkauman yang emosional.
Semua orang Melayu Islam. Jadi mereka hanya perlukan masjid dan surau. Tapi bangsa lain, mereka anut bermacam agama. Orang India ada yang Hindu, ada yang Islam, ada yang Kristian dan ada yang Buddha.
Tak lama dulu Kunta Kinte nampak orang India Kristian di Damansara bina sebuah chapel kayu di bawah pencawang TNB. Bila tanah itu diambil untuk penempatan peniaga hiasan laman, sebuah bangunan baru yang lebih elok dibina mengganti chapel itu.
Tak lama lepas itu, sebuah kuil pula didirikan di sebelahnya oleh orang India beragama Hindu. Jadi, walaupun orang India tidak ramai, tetapi mereka ada banyak tempat ibadat. Yang Hindu bina kuil dan yang Kristian bina gereja atau chapel.
Orang Cina pun macam itu juga. Mereka amalkan apa yang disebut sebagai “Chinese popular religions” (agama popular Cina) yang mengguna pakai tradisi Buddha, Confucius, Taoist dan tradisi lain.
Mereka bina tokong kecil dan besar untuk “datuk” (deities) mereka. Di Pulau Pinang ada “datuk” yang namanya Melayu. Di sebuah kilang elektronik di Prai yang Kunta Kinte lawati, tokong kecilnya diabadikan kepada datuk bernama Datuk Musa.
Kita ada banyak bangsa, agama dan kepercayaan. Tapi kita tidaklah boleh langgar undang-undang negara atau buat sesuka hati atas nama agama. Tak kiralah buat kuil ke, surau ke, gereja ke, tokong atau anjur tunjuk perasaan guna kepala lembu, kepala babi dan macam-macam lagi.
Kunta Kinte rasa ini kerja bahaya. Jika pihak berkuasa tidak mahu orang ramai melanggar undang-undang, mereka kenalah cepat dan tegas bertindak. Mereka kenalah faham hal agama dan kepercayaan pelbagai bangsa di Malaysia.
Perancangan, kelulusan permohonan membina rumah ibadat dan pelaksanaannya wajiblah berlandaskan pengetahuan, ketegasan dan sensitiviti kepada kehendak semua pihak. Yang Kunta Kinte takut pihak berkuasa macam perancang bandar dan desa pun tak faham hal ini.
Jika bolehlah, buat apa bina kuil, gereja atau tokong di kawasan yang tidak ramai orang Hindu, orang Kristian atau orang Cina. Apatah lagi di kawasan yang terbukti majoriti penduduknya Islam. Jadi Kunta Kinte harap sangat-sangatlah supaya semua pihak yang terbabit faham isu dan jangan politikkan perkara yang sensitif macam ini semata-mata untuk dapat undi. Tak patut dan bahaya. – Berita Harian






Kerajaan Negeri bukanlah bodah untuk memutus kawasan berkenaan sebagai penempatan baru. Mungkin jika Toyol masih MB. Jika dulu masih banyak saudara kat SS22 belum lagi kenal Apa itu Shah Alam dan SS22. Tapi etnik Hindu masih kat kawasan itu atas nama estet tak tau nama English apa entah.