SEPT 6 — Saya tertarik membaca tulisan Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah dalam jawab balasnya kepada tulisan Helen Ang yang memberi komentar kepada tulisan-tulisannya yang terdahulu.
Terlebih dahulu, saya kira Dr. Ridhuan tak perlulah menulis “Artikel beliau bertajuk “Ridhuan Tee’s reverse take on racism”, telah diposkan kepada beberapa laman web pembangkang dan membuka peluang kepada para pembaca laman web tersebut menyerang, mengecam dan menghentam peribadi saya sekali lagi, tanpa fakta ilmiah untuk berhujah sebagaimana artikel yang ditulis beliau” kerana ia jelas bercanggah dengan dakwaan beliau bahawa “Saya sepatutnya tidak mahu melayan mereka yang menulis tanpa membuat kajian dan penyelidikan terperinci seperti mana yang saya lakukan”.
Jika beliau mahu menjadi professional, nyatakan saja di mana media yang memuatkan tulisan Helen Ang tanpa perlu menyatakan ianya laman web pembangkang atau tidak kerana orang ramai bukan terlalu bodoh untuk menilai inti hujah berbanding media mana ia disiarkan.
Saya mahu respon kepada tulisan Dr. Ridhuan Tee kerana beliau nampak sangat berhajat kepada counter argument yang sihat.
Dalam tulisan Dr. Ridhuan, beliau menyatakan ciri perbezaan beliau masuk Islam berbanding “masuk Melayu” seperti tulisan Helen Ang. Saya suka dengan hujah Dr. Ridhuan, cuma saya mahu bertanya sama ada Dr. Ridhuan setuju atau tidak dengan kenyataan Perlembagaan yang mendefinisikan bangsa dan agama sekaligus? Soalan saya ini penting kerana untuk saya, ia telah menimbulkan banyak masalah apabila isu agama dihujahkan mengikut kepentingan kaum dan isu kaum dihujahkan konon atas maksud agama.
Saya sedar bahawa ini mungkin akan dilihat oleh mereka yang tergugat sebagai satu ancaman kepada Perlembagaan. Mereka mungkin menggunakan hujah kestabilan kaum sedangkan mereka sedar bahawa hujah kestabilan ini hanyalah alasan untuk menjustifikasikan kekalutan yang mereka timbulkan.
Saya membaca tulisan Helen Ang dan memahami maksud “masuk Melayu” dalam tulisannya hanyalah bermaksud Dr. Ridhuan lebih menonjolkan ke-Melayu-an berbanding ke-Islam-an. Saya tidaklah bersetuju sepenuhnya dengan Helen Ang, tetapi saya fikir ramai rakan-rakan bukan muslim sering beranggapan begitu kerana mereka melihat “hero-hero Melayu-Muslim” ini (bukan semua) hanya berani bersuara dalam ruang lingkup “argumentum ad populum” yang tidak mengusik ketuanan Melayu tetapi pada masa yang sama membisu dan penakut bila berdepan isu kritikal seperti rasuah, salah guna kuasa dan penindasan yang dibuat oleh kelompok yang kuat melaungkan slogan Ketuanan Melayu.
Untuk saya sendiri yang juga seorang Melayu-Muslim, saya tertanya sejak bila pula Islam menghalalkan semua jenis kesalahan ini hanya kerana mereka itu Muslim dan adanya apa yang disebut Ketuanan Melayu?
Saya boleh bersetuju dengan Dr. Ridhuan tentang beberapa perkara. Pertama, soal kuil (dan ini tidak ada kena mengena dengan isu kuil di Shah Alam yang saya telah nyatakan sikap saya dalam tulisan lain sebelum ini). Rakan-rakan daripada kaum India harus sedar bahawa memang terdapat banyak kuil yang dibina di tanah awam tanpa kebenaran. Kaum India sendiri harus berani menguruskan keperluan mereka secara adil. Pada masa yang sama, saya berharap pihak berkuasa tempatan dan juga kerajaan-kerajaan negeri perlu menimbangkan segala permohonan secara adil dan tidak berasaskan sentimen agama dan kaum. Penting saya nyatakan hal ini kerana dalam struktur pengurusan awam di Malaysia, boleh dikatakan semua tempat penting dan majoriti yang terlibat dalam bahagian pengurusan adalah Melayu-Muslim.
Ingatlah firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Maidah ayat 8: Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah s.w.t, serta menerangkan kebenaran, dan janganlah sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah s.w.t. Sesungguhnya Allah s.w.t. mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.
Saya juga melihat Dr. Ridhuan cuba untuk argumentum ed verecundiam dengan memetik 7 wasiat Raja Melayu yang disebut oleh Dr. Raja Nazrin Shah saat gah mengatakan orang tidak faham sejarah. Apa yang lebih patut dilakukan beliau ialah memahami bahawa sejarah tidak bermula pada 1957 dan Tamadun Melayu itu jauh lebih awal daripadanya. Hatta, kuil di Seksyen 19 itu telah 150 tahun usianya!
Dr. Ridhuan juga boleh selepas ini menghuraikan 7 wasiat ini. Saya berharap Dr. Ridhuan tidak lupa merujuk kepada “Qanun Asyih Darussalam” (Peraturan Pemerintahan Acheh) di zaman Iskandar Muda Mahkota Alam (1606-1637) kerana beliau tentu suka mengkaji tentang Wasiat Raja Melayu sebelum menulisnya. Saya juga berharap saya mampu menghujahkannya dengan baik kerana ternyata Allah s.w.t. berfirman dalam An-Nisa” ayat 135: Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah s.w.t. sekalipun terhadap diri kamu sendiri. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa) kerana Allah s.w.t lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu janganlah kamu menuruti hawa nafsu supaya tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutar belitkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi) maka sesungguhnya Allah s.w.t sentiasa mengetahui dengan mendalam apa yang kamu lakukan.
Tentang arak, saya bersetuju secara prinsip bahawa arak itu merosakkan. Namun, dari segi perlaksanaan, saya mungkin berbeza pendapat secara teknikal. Untuk saya arak boleh dijual dan kita umat Islam boleh menggesa satu akta untuk menghalang umat Islam sendiri terlibat dengan arak berasaskan apa yang tercatat dalam Al-Quran dan hadis. Memang ada umat Islam yang menolak penggubalan akta ini tetapi dalam demokrasi, mereka boleh bertarung hujah melalui “public reason”.
Hujah kenapa saya mengatakan arak boleh dijual ialah kerana pada zaman Rasulullah s.a.w. tatkala ada hukuman sebat untuk peminum arak, ia adalah bukti langsung bahawa arak memang ada dijual, jika tidak masakan hukum dapat berjalan? Saya tahu hujah ini mungkin akan dilihat oleh kebanyakan umat Islam sebagai satu keluwesan yang saya ambil dan boleh mengancam umat Islam sendiri. Untuk saya, biarlah kita beriman secara benar berbanding beriman kerana ada ancaman daripada manusia lain.
Saya bukanlah peminum arak, hatta saya bukanlah perokok. Saya juga tahu bahawa arak itu haram sama ada ia memabukkan atau tidak. Dalam konteks jatuh hukum sebat, saya tidak tahu sama ada ia jatuh ketika seseorang mabuk dan melakukan jenayah lain atau dia sekadar minum arak.
Apa yang menarik dalam kes Kartika ialah dia sendiri yang memohon hukuman jenis itu dilaksanakan. Untuk saya ini adalah peluang untuk kita melihat bagaimana proses keadilan yang rumit itu dijalankan. Saya sedar bahawa kita punya undang-undang di mana akan ada pertindihan hujah. Saya tidak tahu sama ada ia boleh dirunding memandangkan ini adalah permintaan khusus Kartika.
Saya fikir Dr. Ridhuan tentu boleh berlaku jujur untuk menegur pemilik saham arak dari kalangan muslim dan semaklah dengan sebenar-benarnya siapa mereka ini dan biarlah adil tatkala menegur dari istana sampai ke rakyat marhaen. Semaklah golongan mana di kalangan muslim yang mampu minum arak dan golongan mana yang hidupnya bersabung nyawa saat harta negara dipunggah untuk kepentingan kelompok.
Saya boleh menulis dengan lebih jelas jika Dr. Ridhuan mahu dan waktu itu saya mahu bertanya mufti mana, ustaz mana yang akan membela saya. — aminahmad.com
* Amin Ahmad, 27 ialah anak muda Melayu-Muslim yang mahu melihat negara ini menjadi lebih baik dengan kebebasan dan keadilan serta persamaan hukum untuk tiap individu di dalamnya, dari sebesar-besar pangkat sehingga rakyat marhaen. Beliau belajar menulis di AminAhmad.com.






Dr. Ridhuan Tee sudah tentu ada mengikuti perkembangan politik terkini dalam negara kalau tidak beliau tidak lah akan 'menyampuk' macam orang kena rasuk tentang beberapa isu hubung kait dengan agama Islam. Saya nak tanya Dr.Ridhuan Tee, mana lebih penting Melayu atau Islam? Adakah Quran hanya menyebut tentang beberapa isu seperti arak, zina dan riba sahaja. Bagaimana dengan tindak tanduk Kerajaan UMNO yang mana pemimpin dengan rakus melakukan perbuatan zalim keatas rakyat negara ini. ZALIM kerana berlaku tidak adil dalam soal pembahagian ekonomi, ZALIM sebab memilih bulu dalam mengambil tindakan Undang-undang, ZALIM kerana mengamalkan ISA, ZALIM, ZALIM terhadap kehidupan liar, ZALIM terhadap alam sekitar. Bukan ini semua termaktub dalam AL QURAN. Bumi Malaysia di telenjangi dengan rakus oleh Kerajaan UMNO. Bukan kah ini ZALIM.
Adakah Dr.Ridhuan Tee, seorang yang menanganggap diri sebagai alim yang selalu bercakap pasal Islam
menegur Kerajaan atas isu-isu Undang-undang ZALIM ini atau isu-isu alam sekitar. Kenapa Dr. tidak bersuara apabila rakyat yang berhimpun secara aman untuk menuntut sesuatu hak mereka di simbah dengan acid di kejar macam binatang dan di pukul, di gari di humban dalam jail tanpa bicara. Adakah Dr tidur apabila semua ini berlaku atau Dr hayal dengan 'kemalayuan' yang baru diperolehi dan mahu menumpang atas nama 'ketuanan melayu'. Ingatlah Dr.Rid, Islam itu lebih mulia dan lebih hebat daripada sesuatu kaum. Sebagai seorang yang tergulung dalam 'alim ulama', Dr.Rid patut bangun bersuara bersama-sama Tuan Guru Nik Aziz tetapi Dr.Rid ambil jalan mudah kerana, lebih senang duduk bersama kumpulan yang lebih memberi kebahgiaan duniayawi kalau lawan nanti hilang pangkat dan darjat. Dr. Ridhuan Tee, kena ingat kaum tidak penting tetapi yang lebih penting adalah ISLAM.