Antara demokrasi lama dan kebebasan mutlak — Mazlan Nordin

SEPT 20 — Diterima bagi kali pertama oleh tukang catit ini ialah majalah Jurnal, terbitan Persatuan Wartawan Melayu Kelantan yang mengandungi pelbagai makalah politik oleh, antara lainnya, bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir dan Tengku Razaleigh Hamzah.

Lalu dijelaskan oleh Dr. Alias Mohamed, pengarang majalah tersebut bahawa rencana kedua tokoh Umno itu ‘‘bukan untuk memangkin nostalgia,’’ tetapi untuk mendorong para pembaca mendalami isu-isu penting di sekitar politik dan ekonomi Melayu.

Artikel ‘Rasuah Politik’ oleh Tun Dr. Mahathir, yang telah pun disiarkan sebelum ini, menyentuh perihal ‘‘orang Melayu berada dalam keadaan tidak tentu arah, terancam, terpaksa menubuh badan-badan lain untuk mempertahankan hak mereka, berpecah dan bercampera serta umumnya hilang haluan. Mereka ditohmah dan dipermainkan seolah-olah mereka menumpang di negeri orang.’’

Daripada Tengku Razaleigh diperturunkan semula ucapannya yang disampaikan kepada Banker’s Club di Kuala Lumpur berjudul From The General Election to The Transition Plan. Kenyataannya menyebut mengenai pilihan raya 8 Mac 2008 mengubah hala tuju orang Melayu dalam dunia politik.

Beliau menegaskan bahawa senario sebelum 8 Mac tidak boleh dipulihkan lagi, lalu menambah: ‘‘Kita boleh berdiri di pinggir keadaan tidak stabil yang berlarutan dan kereputan. Atau kita boleh berada di pinggir kesempatan untuk menegakkan semula diri kita sebagai negeri yang demokratik, bersatu dan berkeyakinan sekali lagi untuk mewujudkan untung nasib kita sendiri di kalangan pelbagai bangsa.’’

Kandungan Jurnal yang mencabar ialah rencana berjudul Kaji Semula Sistem Demokrasi Berparlimen. Maka bagi Dr. Alias: ‘‘Isu sekarang ialah kenapa mengekalkan sistem demokrasi corak lama kalau dengan cara itu masyarakat akan porak-peranda, perebutan kuasa antara Melayu dan bukan Melayu akan berpanjangan, ekonomi dan pendidikan Melayu terus dipersoalkan dan perlembagaan menjadi sasaran.’’

Bersabit sindrom ‘‘Belanda Minta Tanah’’ disebut betapa sebelum merdeka, penjajah menguasai 60 peratus ekonomi negara dan 40 peratus dikuasai oleh bukan Melayu. Hanya satu peratus atau kurang dikuasai oleh Melayu.’’

Pemerhati politik, Rahim Zain dalam makalahnya bertajuk ‘‘Ketuanan Melayu menyentuh peranan NGO Melayu: ‘‘Orang Melayu perlu waspada dengan kebanyakan NGO yang dikendali sebagai NGO Melayu yang diperalatkan atau mahu diperalatkan bagi tujuan yang sesat.

Kemajuan

‘‘Dalam loghat Kelantan orang NGO tidak boleh diambil kira dan tidak layak diajak berkira dalam perkara penting. Banyak NGO Melayu yang tidak menghasilkan kerja positif dari segi menghasilkan kemajuan dalam masyarakat secara konsisten .... hanya ketua mereka saja yang mahu dikenali tetapi kesan kerja sukar dikaitkan dengan penghasilan yang bersistem dan yang menyahut cabaran realiti baru dan tidak sebagai

pembawa perjuangan lapuk.’’

Oleh Rahim diingatkan bahawa perkembangan di bidang perhubungan kaum pada hari ini sangat mencabar kerana asa toleransi dan hormat menghormati antara kaum sudah berubah.

Bekas wartawan Utusan Melayu, Wan Ahmad Wan Hassan pula memberi perhatian kepada penulis blog yang tidak tertakluk kepada peraturan dan undang-undang. Antara lain dicatit: ‘‘Masih ramai yang tidak dilatih sebagai penulis yang professional di mana-mana media cetak atau elektronik.

Mereka tidak mempunyai latar belakang latihan kewartawanan yang tinggi ..... masih ramai golongan yang tidak yakin sesuatu yang dilaporkan dalam blog. Hanya 35 peratus yang percaya dan mengikuti tulisan dalam blog dan selebihnya pendokong media cetak. Terdapat penulis blog yang mendapat pendidikan sebagai jurutera tetapi muncul sebagai penulis hiburan dalam halaman blog.’’

Berkaitan dengan pelbagai ingatan yang telah diajukan itu ialah amaran daripada Datuk Seri Dr. Rais Yatim mengenai ancaman siber di Malaysia semakin berbahaya seperti dilaporkan: ‘‘beliau memberi contoh bagaimana kementeriannya mengesan antara 500 dan 540 rejaman atau tohmahan palsu setiap bulan menerusi blog, e-mail, Facebook dan Twitter terhadap institusi raja, nilai-nilai Islam pencapaian orang Melayu serta dasar-dasar kerajaan termasuk gagasan 1 Malaysia.’’

Menurut Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan itu ancaman siber ‘‘kian menular kepelbagaian institusi dan mahu mengambil alih kuasa demokratik rakyat menerusi tindakan fizikal. Ancaman dari luar dan dalam itu dikenalpasti bersekutu menerusi penulisan blog dan ilustrasi dengan menggunakan idea-idea progresif yang dicedok dari Barat dan kerajaan sistem republik yang tidak mengamalkan tahap-tahap keistimewaan rakyat asal.’’ Dalam ingatan ialah peringatan dari Profesor Isaiah Berlin: ‘‘Kebebasan sepenuhnya bagi serigala bererti maut bagi kambing.’’ — Mingguan Malaysia

 

Comments (2)Add Comment

Write comment

busy
 

Sponsored Links