Didik diri mengawal nafsu liar dalam memburu kuasa

OKT 6 — Setiap kali pilihan raya kecil, setiap kali itulah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pihak berkuasa berkaitan akan mengulangi mesej supaya berkempen secara berhemah.

Mesej dan ingatan demi ingatan itu tentu sekali lebih ditujukan kepada pembangkang. Ini kerana kelompok merekalah yang sering mencetuskan masalah.

Lihatlah gelagat pemimpin pembangkang semasa penamaan calon pilihan raya kecil Permatang Pasir. Sabtu lalu pula, semasa penamaan calon pilihan raya kecil Bagan Pinang, penyokong pembangkang terus mencetuskan kekecohan.

Nampaknya, mesej demi mesej dan ingatan demi ingatan seperti tidak memberi kesan. Ibarat mencurah air di daun keladi.

Kata-kata provokasi, mengelirukan dan kesat pula sering menjadi mainan pada kempen pilihan raya. Memberi gelar yang menghina kepada lawan pula sudah menjadi asam garam setiap ceramah. Nasihat pemimpin masing-masing supaya ceramah dijalankan secara berhemah dan tertib tidak dihiraukan.

Kesederhanaan yang sering dilaungkan hanya kosmetik. Tingkah laku dan ucapan di hadapan penyokong tidak menunjukkan semangat demokrasi. Apatah lagi semangat sebagai pembangkang yang sepatutnya berperanan menyeimbangi pengaruh dan kuasa parti pemerintah. Setakat ini, mereka belum menunjukkan contoh dan teladan itu.

Kini, selepas perbuatan menggunakan ayat al-Quran dalam kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gantang, ia berlaku lagi di Bagan Pinang. Dulu (4 April lalu) perbuatan Ahli Parlimen Taiping daripada DAP, Nga Kor Ming menggunakan ayat suci al-Quran dalam ceramahnya ketika berkempen telah dibidas oleh para ulama.

Ternyata ia tidak dipedulikan oleh pembangkang. Di Bagan Pinang, Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan meneruskan tradisi itu. Ahli Parlimen kontroversi ini seperti sengaja mahu membakar rasa marah umat Islam.

Ayat al-Quran bukan mainan politik, noktah. Para ulama sudah beberapa kali menegaskan perkara itu.

Pas pula membiarkan sahaja rakan-rakan bukan Islam mereka menggunakan ayat al-Quran. Malah ada di antara mereka yang membela dengan alasan-alasan yang nampak sengaja diada-adakan, berpolitik ada had dan batasan. Mengapa harus begitu rakus mahu merampas kuasa dengan memperjudikan agama dan bangsa. Mentafsir sumber rujukan utama orang Islam tanpa ilmu boleh dikategorikan sebagai menghina orang Islam. Ia juga boleh dilihat sebagai mempermainkan kitab suci itu.

Lantas, wajar kita bertanya masihkah ada sisa di benak terhadap nilai-nilai Ramadan yang baru berlalu dan Syawal yang kini masih disambut meriah. Pertanyaan lebih khusus, apakah pembangkang yang kini sedang menikmati sedikit kuasa telah melaksanakan peranannya dengan baik.

Janganlah dididik masyarakat kita supaya menghalalkan apa juga cara bagi mencapai sesuatu matlamat. Kalau orang lain buat salah, kalau kita tidak apa.

Sayangnya, belum banyak perubahan yang dapat kita lihat daripada sikap parti pembangkang walaupun telah melalui pengalaman sembilan kali pilihan raya kecil. Masih sahaja ada insiden-insiden yang tidak menunjukkan kematangan berpolitik.

Kita sepatutnya berasa malu. Setelah melalui sekian banyak pilihan raya, kita masih terus dihidangkan dengan provokasi, fitnah dan kata-kata kesat. Nampaknya, ramai yang masih gagal untuk mengawal nafsu liar memburu kekuasaan. — Utusan Malaysia

 

Comments (0)Add Comment

Write comment

busy
 

Sponsored Links