NOV 18 — Agenda penyatuan Melayu-Islam terus mendapat sentuhan dan perhatian pemimpin negara. Kali ini Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri membuat saranan agar Persatuan Anak Melayu Johor (PAMJ) bergerak aktif dengan mengambil inisiatif untuk menyatukan orang Melayu di seluruh negara.
Ini adalah kerana kepimpinan PAMJ dipelopori oleh individu-individu berpengaruh dan berpengalaman dalam pelbagai bidang.
Saranan Timbalan Perdana Menteri itu sangat wajar memandangkan agenda perpaduan Melayu-Islam adalah sesuatu yang sangat penting demi masa depan Melayu.
Usaha-usaha penyatuan Melayu-Islam perlu dilaksanakan secara jujur lagi ikhlas agar maruah dan darjat bangsa Melayu dan agama Islam diangkat ke tahap tertinggi serta mampu menjadi antara penentu kepada percaturan umat.
Pihak-pihak yang mempunyai keupayaan seharusnya menyambut saranan Muhyiddin itu sebagai cabaran. Bagaimana penyatuan yang selama ini digembar-gemburkan dapat dimula dan dijadikan realiti harus difikirkan. Cabaran-cabaran terutamanya daripada sudut politik boleh diatasi jika ada kemahuan, kesungguhan dan kesabaran. Usaha-usaha penyatuan Melayu Islam adalah murni dan semua pihak termasuk parti-parti pembangkang perlu berlapang dada demi masa depan anak cucu bangsa Melayu-Islam.
Memang benar hasrat untuk menyatukan bangsa Melayu masih belum menampakkan sebarang hasil.
Biarpun isu perpaduan Melayu terus diperkatakan namun belum ada pihak yang tampil dengan saranan atau cadangan yang betul-betul mampu menjadi anjakan kepada usaha-usaha ke arah penyatuan bangsa Melayu. Sudah tiba masanya sekumpulan cendekiawan dan intelektual Melayu-Islam bersama-sama kepimpinan PAMJ mengorak langkah menyusun strategi yang mampu merealisasikan hasrat penyatuan.
Kumpulan ini wajar memainkan peranan sebagai pihak ketiga atau orang tengah yang berkecuali sifatnya, dihormati lagi berpengaruh untuk bertindak sebagai penghubung di antara parti-parti politik dan orang-orang Melayu. Sekumpulan individu yang mampu diterima oleh semua pihak dan mampu membawa kepimpinan Melayu-Islam ke meja rundingan. Peribahasa "ambil pati, buangkan hampas" perlu dijadikan asas. Kumpulan ini mampu memainkan peranan sebagai penyelaras yang menetapkan matlamat, kaedah serta natijah penyatuan umat Melayu di semua peringkat.
Sebagai permulaan mengapa tidak semua kepimpinan Melayu mula menggembleng idea, masa dan tenaga untuk mengurus dan menyelesai isu-isu sosial yang melanda belia Melayu? Pengembangan ekonomi Melayu juga mampu direalisasikan jika pembangkang mampu mendahulukan keperluan rakan sebangsa. Bangsa Melayu tidak boleh lagi mengamalkan peribahasa "bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing". Badan-badan bukan kerajaan (NGO) Melayu juga perlu memainkan peranan aktif dengan menjadi pemangkin kepada penyatuan bangsa Melayu-Islam.
Tidak dinafikan bangsa Melayu Islam secara berterusan berdepan dengan berbagai cabaran yang menjejaskan jati diri, maruah serta kesinambungan. Justeru itu, Raja-Raja Melayu sudah beberapa kali bertitah agar bangsa Melayu menyemarakkan kembali semangat kesatuan yang utuh dan setiakawan demi memastikan kelangsungan bangsa Melayu.
Sedar atau tidak, ada pihak yang lega kerana hasrat perpaduan yang dicanang sebelum ini tidak menjadi realiti. Sedar atau tidak, ada pihak yang tersenyum sinis. Tersenyum kerana sudah menjangka kesudahan drama "kerajaan perpaduan". Bak kata orang utara. "pi mai pi mai tang tu jugak". Belum sempat duduk semeja dan mengatur agenda, idea yang mampu mengangkat darjat bangsa Melayu tidak menjadi.
Pokoknya, bangsa Melayu Islam harus kembali bersatu. Bersatu seperti mana bersatunya generasi Melayu terdahulu semasa menentang Malayan Union atau semasa Tragedi 13 Mei. Bangsa lain tidak perlu bimbang kerana penyatuan bangsa Melayu adalah tiang seri kepada perpaduan bangsa Malaysia yang satu ini. Jika bangsa Melayu bersatu dan kukuh, maka kukuhlah penyatuan bangsa Malaysia.
Jika kita mengimbau sejarah lampau, bangsa Melayu suatu masa dahulu begitu mantap jati diri dan bergerak bersungguh-sungguh ke arah memartabatkan maruah bangsa.
Hasilnya lahirlah negara yang berdaulat, dihormati dan dipandang tinggi oleh bangsa asing. Bangsa mana lagi di dunia ini yang berjaya mewujudkan satu kesatuan yang begitu kukuh sehingga mampu menjadi pemerintah di bumi sendiri? Bangsa mana lagi di dunia ini yang begitu tinggi sifat tolak-ansur dengan bersedia untuk berkongsi tanah Melayu ini dengan lain-lain kaum?
Perpaduan yang melibatkan semua umat Melayu-Islam tanpa mengambil kira ideologi politik penting demi melahirkan bangsa Melayu yang jaguh dalam soal ekonomi, politik, pendidikan, sains dan sebagainya.
Kita perlu merenung sejarah perjuangan silam. Semakin rumit halangan yang ditempuh, semakin mantap kesatuan bangsa Melayu. Bangsa Melayu sanggup menggadaikan nyawa demi kedaulatan raja, agama, bangsa dan negara. Resipi tersebut diperlukan untuk terus melestarikan kewujudan bangsa Melayu-Islam yang unggul. — Utusan Malaysia
Penulis ialah pensyarah kanan di Fakulti Pengurusan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis.





