Polemik royalti minyak jadi modal politik PAS — Haspaizi Mohd Zain

FEB 9 — Kemelut Pas Kelantan terutama isu membabitkan menantu Menteri Besarnya lenyap sekelip mata apabila Kerajaan Pusat mengumumkan peruntukan wang ihsan berjumlah RM20 juta kepada negeri itu. Bagaimanapun kerajaan Pas Kelantan enggan menerima wang berkenaan. Alasannya, Kelantan layak menerima royalti daripada Petronas atas dasar pengeluaran hasil minyak di dalam kawasan perairan negeri itu, bukannya wang ihsan. Pemimpin Pas negeri itu dengan lantang mendesak Kerajaan Pusat supaya Petronas memberi royalti kepada Kelantan dengan jumlah lebih banyak daripada yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebelum ini.

Diberi betis hendakkan paha, mungkin itu ungkapan sesuai untuk sikap kerajaan Pas Kelantan. Apakah Pas memperjuangkan royalti benar-benar untuk rakyat ataupun ada kepentingan lain di sebalik itu — siapa saja boleh mentafsirkannya. Mengapa sukar untuk menerima RM20 juta itu? Bukankah banyak kegiatan pembangunan boleh dilakukan untuk rakyat Kelantan seperti meningkatkan mutu bekalan air bersih, menambah baik jalan dan lebuh raya serta membantu golongan kurang bernasib baik dengan wang berkenaan.

Apa yang menjadi persoalan ialah mengapa sehingga kini tidak ada mana-mana pihak yang membawa isu berkenaan ke mahkamah sekiranya Kelantan benar-benar layak mendapat royalti berkenaan. Sesi penerangan oleh bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah, juga tidak mampu mengubah apa juga keputusan.

Tuntutan royalti adalah isu undang-undang dan hanya mahkamah boleh memutuskannya. Jika benar Pas memperjuangkan perkara itu demi kepentingan rakyat bukannya parti maka failkan tuntutan itu di mahkamah. Malah bagi pihak Kerajaan Pusat tidak mempunyai masalah untuk berdepan dengan tuntutan kerajaan Pas Kelantan itu. Namun akhir-akhir ini apa yang berlaku pemimpin Pas Kelantan sudah tidak ‘berupaya’ untuk membawa perkara itu ke mahkamah, sebaliknya menggunakannya di pentas politik.

Persoalannya, apakah Pas Kelantan mahu menjadikan polemik royalti minyak ini sebagai senjata baru politik mereka ketika kepemimpinan parti negeri itu berdepan dengan pelbagai kepincangan dan isu ini akan dipalu serta dicanang sehingga menjelang pilihan raya umum akan datang bagi mempertahankan kerajaan Pas di Kelantan.

Profesor Politik dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohamed Mustapa Ishak, berpendapat Pas sengaja memperbesarkan isu royalti minyak bagi menutup segala kepincangan mereka mentadbir Kerajaan Kelantan.

“Kalau Kerajaan Pas Kelantan membawa perkara ini ke mahkamah, mereka tidak boleh lagi bercakap dan menjaja isu ini. Saya percaya isu ini akan diheret mereka hingga pilihan raya umum akan datang sebagai bahan kempen.

“Isu royalti minyak mampu menutup segala masalah besar yang wujud di Kelantan (sama ada) dalam politik dan pentadbiran Pas kerana banyak masalah besar di negeri itu gagal ditangani kerajaan negeri seperti masalah air, isu rasuah dan kronisme. Royalti adalah perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Susah untuk kerajaan menidakkan perkara itu sekiranya Kelantan layak menerima,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar, berkata dalam isu terbabit semua pihak perlu melihat kepada fakta apakah Kelantan layak mendapat bayaran royalti ataupun tidak.

“Sebenarnya dalam hal ini Petronas perlu memainkan peranan. Petronas lebih sesuai untuk memberi pandangan ataupun membuat keputusan sama ada Kelantan layak ataupun tidak,” katanya sambil menambah selagi tiada penerangan yang jelas, isu itu akan dipolitikkan pihak tertentu sehingga menimbulkan kekeliruan kepada rakyat.

Bagaimanapun, sekiranya Kelantan hanya layak menerima wang ihsan, Kerajaan Pusat perlu menyalurkannya dengan cara yang penuh cermat dan melalui saluran yang betul. Jangan sesekali salurkan peruntukan berkenaan melalui saluran politik kerana ia akan mencetuskan isu lain. Apatah lagi jika wang ihsan yang disalurkan itu digunakan bagi tujuan pembangunan di Kelantan. Justeru, wajar jika satu jawatankuasa pemantau ditubuhkan. Ia mungkin membabitkan wakil kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat yang akan menguruskan wang itu diagihkan dengan betul dan menjamin setiap sen yang dibelanjakan adalah untuk kepentingan rakyat Kelantan tanpa tercurah ke tempat lain. — Berita Harian


* This article is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.

 

Comments (3)Add Comment

Write comment

busy
 

Sponsored Links