Pemotoran, Mat Rempit dan dasar Pakatan

OKT 31 — Pejam celik tanpa disedari penganjuran kejuaraan Moto GP di Malaysia telah memasuki edisi ke 19 setelah pertama kali menjejak kaki di bumi bertuah ini di Batu Tiga Shah Alam pada tahun 1991. Sebelumnya siri kejuaraan ini dipanggil dengan nama lain iaitu Kejohanan Grand Prix Motosikal Dunia dengan siri 500cc sebagai kelas perdana dengan nama-nama besar pada ketika itu seperti Eddie Lawson, Wayne Rainey, Mick Doohan, Randy Mamola dan ramai lagi. Siri Moto GP yang ada sekarang mula diperkenalkan pada tahun 2002.

Edisi pertama telah dianjurkan oleh kerajaan negeri Selangor pada masa itu sebelum diambil alih oleh MAB dan seterusnya sekarang, Sepang International Circuit (SIC). Sebelum beralih arah ke Sepang, semua perlumbaan dianjurkan di Litar Batu Tiga Shah Alam yang kemudian telah “dirampas” kerajaan negeri atas nama pembangunan kecuali sekali pada 1998 di Litar Pasir Gudang.

Apa yang pasti edisi ke 19 telah berjaya dari segi penganjuran dengan kehadiran hampir 60,000 penonton sekaligus merupakan jumlah kehadiran tertinggi sepanjang sejarahnya di Malaysia. Sekalung tahniah kepada CEO SIC yang baru, anak muda bernama Razlan Razali yang sejak meneraju SIC berjaya membuat banyak perubahan dari segi imej dan lebih merkayatkan Litar Sepang. Namun begitu jangan cepat merasa puas kerana masih banyak yang boleh diperbaiki seperti kekurangan gerai makanan, aktiviti-aktiviti yang lebih fun dan sebagainya.

Bercerita tentang Litar Batu Tiga yang saban minggu meriah dengan siri perlumbaan malam minggu sangat menyedihkan apabila litar yang penuh dengan kenangan indah dan disukai ramai pelumba-pelumba hebat dunia dilepaskan begitu sahaja dengan mudah tanpa ada tentangan kuat dari komuniti pemotoran.

Atas nama Litar F1 Sepang yang gah dan moden, sebuah litar sederhana tetapi bertaraf dunia untuk kepuasan komuniti motosikal yang majoriti mat rempit diambil haknya untuk kepuasan hidup mewah orang-orang berduit berkereta besar yang hobinya memandang rendah dan meremehkan penunggang motosikal.

Fenomena Mat Rempit

Sebelum kita berbicara tentang mat rempit, harus ditekankan di sini bahawa mat rempit, mat motor dan penunggang motosikal adalah tiga entiti berbeza walaupun kadangkala ketiga-tiganya boleh bersatu menjadi satu.

Pengalaman saya yang sering menunggang motosikal amat tidak menyenangkan apabila sering ditahan di sekatan jalan dan disyak penjenayah oleh macam-macam golongan apabila pulang dari melepak atau bahasa poyonya berdikusi tengah malam hingga larut pagi.

Perkataan “rempit” seperti yang difahami oleh lingkungan kawan-kawan bermotor saya di Kapar dan Klang adalah datang dari bunyi prittt, prittt…..! ekzos motor dua lejang yang dahulu popular sebelum beralih ke empat lejang seperti Suzuk RG, Yamaha SS110, Yamaha RXZ, Yamaha TZR dan macam-macam lagi.

Sewaktu di zaman persekolahan, imej mat rempit dan mat motor tidak terlalu buruk kerana faktor ekonomi dan sosial ketika itu. Secara ekonomi kehidupan mereka tidak seburuk sekarang kerana peluang pekerjaan di kilang-kilang terbuka luas kerana aliran pelaburan asing (FDI) sangat deras ke bumi Malaysia sebelum dicuri oleh Vietnam, China, India dan Indonesia.

Secara sosial pula mereka tidak dilihat sebagai makhluk pengacau atau sampah masyarakat seperti yang dilempar kepada komuniti ini sekarang seraya setaraflah mereka dengan penagih dadah. Alasannya mudah kerana jikalau kita hidup berkomuniti, golongan inilah yang sentiasa membantu dan membanting tulang di acara-acara keramaian seperti gotong royong, sembelihan korban di surau dan merewang di majlis perkawinan setiap hari minggu dengan upah rokok dari orang dewasa yang sporting. Masih terpahat di memori betapa respek dari masyarakat sekeliling terhadap mereka sangat kuat dan kerajinan mereka berniaga dan berkomunikasi sangat hebat mengalahkan budak-budak skema yang dikawal ketat oleh penjaga mereka atas nama moral dan lain-lain.

Beberapa tahun ke hadapan imej golongan ini semakin lama semakin buruk di kalangan masyarakat akibat perubahan struktur ekonomi dan sosial yang melatari zaman apabila pembukaan peluang-peluang pekerjaan semakin lama semakin menguncup seterusnya mengakibatkan mereka beralih ke kerjaya yang baru iaitu melakukan tindak jenayah.

Peralihan masyarakat yang semakin lama semakin bersifat individualistik telah mengakibatkan semangat berkomuniti semakin berkurang dan bersebab dengan itu juga majlis perkahwinan sering mengundang katerer untuk mengurus hal ehwal makanan sekaligus membuang fungsi penting mat rempit untuk merewang. Hal-hal seperti inilah yang secara psikologi akhirnya meminggirkan komuniti ini dari arus perdana masyarakat dan untuk menarik perhatian yang hilang maka terjadilah tindak jenayah dan tindak menunjuk-nunjuk yang melampau. Ini hanya contoh-contoh mudah yang boleh dilihat dan dirasai, contoh-contoh yang sukar dilihat boleh bertanya kepada para akademik yang harap-harapnya tidak terlena sahaja.

Untuk membebel dan memaki hamun golongan ini di facebook dan dunia maya lain merupakan kerja termudah di dunia tetapi tidak untuk cuba mencari penyelesaian nyata. Saya sendiri pernah dikejar segolongan mat rempit apabila rasa marah dan emosi yang meluap secara automatik menyebabkan jari tengah menghala ke arah mereka apabila sesuka hati bertindak bahaya di jalanan. Alangkah bernasib baik apabila balai polis tidak jauh dan saya mengarahkan teman yang memandu menuju ke sana lantas hilang kelibat mereka yang sebelumnya cuba memecahkan cermin kereta dengan helmet, tetapi gagal.

Saranan kepada pihak berkenaan iaitu; kerajaan yang memerintah baik di pusat atau negeri wajib membentuk satu jawatankuasa khas untuk membincangkan hal ini secara mendalam sebelum ianya bertambah parah sebagai akibat jurang ekonomi yang dijangka semakin meluas.

Menggunakan mereka sebagai alat pemuas kekuasaan pemerintah dan parti-parti politik tidak akan membantu pembentukan mereka sebagai suatu kelompok anak muda yang kreatif dan dinamik. Keliaran mereka perlu dirayakan tetapi tidak kejahatan dan tindak kriminal yang menyusahkan orang lain. Menjadikan mereka lebih Islamik dan moralis bukan satu cara yang terbaik sebaliknya berikan mereka peluang untuk memperkasakan diri dengan cara mereka yang tersendiri kerana hanya mereka yang tahu apa yang dikehendaki. Dekati, dengar dan fahami mereka sebelum melakar sesuatu untuk mereka. Paling mudah bina litar yang sederhana di setiap daerah seperti mana bercambahnya gelanggang futsal tanpa perlu mengkorupsi diri dengan projek berjuta-juta.

Nasib sukan pemotoran di bawah Pakatan

Suatu fakta yang tidak boleh ditolak oleh komuniti pemotoran dan rakyat Malaysia adalah kesungguhan kerajaan Barisan Nasional menaikkan imej dan prestasi sukan pemotoran negara dengan program-program yang didanai secara materi mahupun moral.Cerita-cerita negatif tentang di balik semua program kita tolak ketepi dahulu dengan mengandaikan hanya 10% sahaja ketirisan yang terjadi dan melihat kepada manfaat yang lebih besar.

Cuma persoalan disini adalah bagaimana agaknya nanti sukan pemotoran negara di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat seandainya mereka berjaya memerintah negara kelak. Apakah ia akan lebih baik dari apa yang sedia ada nanti? Bagaimana dengan projek Formula 1 dan Moto GP dan banyak lagi? Adakah akan diteruskan atau diberhentikan dengan alasan ekonomi dan pulangan faedah yang sedikit kepada negara dan rakyat? Apakah bayangan pentadbiran SIC nanti di bawah Pakatan? Siapa yang akan menerajui SIC?

Apa yang pasti pemain industri pemotoran seperti Two Wheels Motor Racing, Wheel Sport Management dan lain-lain harus mula mendekati kelompok Pakatan jika mahu semuanya berjalan berterusan dan Pakatan sendiri wajib mendekati mereka dahulu.

Apapun kita tunggu saja nanti.

Comments (0)Add Comment

Write comment

busy
 

Sponsored Links