Side Views

Bagaimana hendak kambus bangkai sekawan lembu? — Mohd Rashidi Hassan

16 APRIL — Karier politik Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sepatutnya sudah berakhir dengan skandal lembu NFC yang menyebabkan kerugian wang rakyat sebanyak RM250 juta. Tetapi beliau diselamatkan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.

Tindakan Najib menyelamatkan Shahrizat, menyebabkan ada kalangan pemimpin Umno di peringkat Majlis Tertinggi, negeri, bahagian, malah dari kalangan Pergerakan Wanita Umno terutamanya, terpingga-pingga dibuatnya.

Mungkin mereka tidak tahu sebab apa Najib selamatkan Shahrizat walaupun dari segi faktanya, jelas Shahrizat merugikan masa depan Umno.

Pada pandangan rakyat yang boleh membuat agakkan dan penilaian, ada kemungkinan ianya berkaitan dengan pembelian kondo mewah yang dikatakan bernilai RM1.7 juta di Kazakhstan.

Orang-orang Umno tidak boleh menerima dakwaan mengatakan kondo tersebut dibeli Shahrizat, kerana hubungan akrab beliau dengan PM dan isteri yang bakal menerima menantu dari negara tersebut. Tetapi mereka boleh menerima hujah bahawa memang NFC tiada keperluan berniaga lembu dengan Kazakhstan.

NFC jelas tidak mempunyai urusan perniagaan lembu di Kazakhstan, orang Kazakhstan pun tidak berminat membeli lembu Asia, tetapi mungkin juga NFC boleh memberi alasan, bahawa mereka bakal mempunyai kepentingan jangka panjang di negara bekas jajahan takluk Rusia tersebut.

Bukan saja di Kazakhstan, NFC juga tidak harus ada hubungan dengan perniagaan hartanah, sama ada membeli kondo mewah One Menerung di Kuala Lumpur atau di Singapura.

Memang sudah ada pendakwaan terhadap pemilik NFC iaitu suami Shahrizat, yang didakwa menyalahgunakan dana NFC untuk tujuan selain peniagaan lembu. Tetapi Shahrizat selaku menteri dan Ketua Wanita Umno sewaktu dana RM250 juta kepada syarikat milik keluarganya, tetap bersalah dan harus dipertanggungjawabkan.

Pada 8 April lepas, Shahrizat terpaksa melepaskan jawatan menteri kerana pelantikan senatornya sudah tamat tempoh. Tetapi masih kekal sebagai Ketua Wanita Umno di atas kehendak Presidennya.

Walaupun terselamat, tetapi Shahrizat “berada dalam nyawa-nyawa ikan”. Tiada siapa dalam wanita Umno yang mempedulikan arahan Presiden Umno. Mereka, khususnya Naib Ketua kepada Shahrizat, Datuk Kamilia Ibrahim, terus menyerang dan tetap beranggapan bahawa ketuanya adalah liabiliti kepada Umno.

Kamilia akur dengan kehendak Najib mengekalkan Shahrizat, tetapi masih terus mengulangi pendiriannya menolak Shahrizat, dan pada pandangannya Shahrizatlah yang menyebabkan Wanita Umno menerima gelaran lembu.

Mengapa Wanita Umno tidak suka menerima gelaran lembu? Mungkin barangkali kerana mengikut tafsiran orang-orang Melayu zaman dulu, jika mereka melabel seseorang yang dungu, mereka akan mengatakan kepada orang yang dungu itu “bodoh macam lembu”.

Mungkin Wanita Umno lebih bijak daripada lembu. Maka dengan sebab itu mereka tidak mahu digelar lembu dan tidak mahu diperbodohkan oleh taukeh lembu yang menjadi ketua mereka.

Tetapi suatu hakikat yang diterima Wanita Umno ialah, mempertahankan Shahrizat merupakan suatu “disaster” atau mala petaka buat mereka. Ini yang ditakuti bekas Menteri Kewangan dan bekas Bendahari Umno, Tun Daim Zainuddin.

Secara terbuka Daim mengatakan bahawa Umno-BN akan musnah akibat skandal lembu (cowgate scandal).

Justeru Kamilia tidak mempunyai pilihan lain, selain menentang Shahrizat bagi jawatan Ketua Wanita Umno dalam pemilihan yang akan diadakan tahun ini, jika Shahrizat terus menyinsing lengannya untuk berlawan.

Jika Shahrizat hendak melawan pun tiada gunanya. Sudah tidak ada sebab hendak merebut jawatan dalam parti yang hampir karam. Umno akan karam kerana sudah tiada orang yang cerdik hendak mengemudinya.

Hal ini pun secara tidak langsung diakui bekas PM dan bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan, golongan cerdik pandai sekarang ini sudah tidak mahu menyertai Umno. Banyak profesional yang masuk PAS dan parti pembangkang yang lain.

Dalam erti kata lain, yang tinggal dalam Umno atau yang masih sudi masuk Umno, hanyalah orang-orang yang seperti, diumpamakan oleh orang Melayu macam lembu tadi.

Menyedari ketelanjuran ini, Umno tidak mahu mengaku salah, Umno tidak mahu surrender. Malah mereka cuba membersihkan nama yang sudah busuk dengan cuba mencari pembida baru mengambil alih operasi NFC.

Tindakan ini dilihat, jelas bertujuan untuk menutup secepat mungkin skandal lembu tanpa merungkai soal pertanggungjawaban terhadap BN. Apakah selama ini Malaysia ditadbir secara “Pak Pandir” yang buta-buta memberi wang rakyat sebanyak RM250 juta kepada kroni?

Jika pun Shahrizat sudah tidak menjadi menteri dan kalah dalam pertandingan Ketua Wanita Umno, masalah dan kepincangan dalam urusan NFC tidak boleh ditutup atau dilupuskan.Ianya adalah kecuaian kerajaan, kecuaian Umno.

Kita ingatkan kepada mereka bahawa, mungkin bangkai seekor lembu boleh ditutup, tetapi bagaimana hendak menutup bangkai sekawan lembu yang jumlahnya hampir sama dengan jumlah perwakilan Wanita Umno? — harakahdaily.net

* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.

Comments