Side Views

Tiada pencuri mengakui mencuri — Mior Kamarul Shahid

June 24, 2012

24 JUN — Dalam politik, kisah negatif peribadi seseorang mungkin tenggelam apabila ada berita baru lain yang lebih sensasi didedahkan. Bagi ahli politik, latar belakang, moral, salah laku, penyelewengan, hubungan sulit dan skandal adalah antara cerita menarik seseorang aktor politik yang menjadi perhatian umum.

Biasanya, perhatian kumpulan sasaran masyarakat politik beralih kepada berita baru yang lebih panas terutama apabila media turut menggembar-gembur berita mengenainya. Ada juga isu lama lebih panas dan memberi impak lebih besar daripada isu baru.

Cuma, jika terlalu banyak pendedahan dibuat mengenai parti atau seseorang aktor politik, ia boleh menyebabkan hilang fokus. Sasaran politik atau pengamal demokrasi mungkin keliru dengan tindakan politik yang cuba diketengahkan dan menimbulkan banyak telahan positif-negatif.

Umpamanya, kekeliruan timbul untuk mengetahui antara isu moral dan salah laku seseorang aktor politik, yang mana satu memberi impak lebih besar? Yang mana satu kesalahan yang lebih menjejaskan kredibiliti seseorang?

Begitu juga, mungkinkah kesalahan kecil menenggelamkan kesalahan lebih besar disebabkan ia diheboh-hebohkan secara meluas? Jika sesuatu tindakan politik dilakukan ‘berlebih-lebih’, ia boleh menjadikan masyarakat sasaran politik mengambil sikap pasif. Disebabkan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) diramal kian hampir, pelbagai isu lama muncul semula dan isu baru muncul tidak semena-mena.

Serangan dan mempertahan diri silih berganti walaupun kempen pilihan raya belum bermula.

Secara keseluruhannya, penilaian setakat ini menunjukkan Barisan Nasional (BN) mempunyai kelebihan dari segi isu berbanding pembangkang yang sudah hampir kehabisan modal politik. Pemimpin BN yang sebelum ini diserang, kini menyerang balas.

Banyak kelemahan pembangkang didedahkan satu demi satu. Janji pembangkang yang tidak ditunaikan seperti dibangkitkan BN, memberi kesan kepada pemikiran rakyat. Bagi sesiapa juga, janji wajib ditunaikan.

Pembangkang tidak dapat lari kerana banyak janji mereka kepada rakyat tidak dilaksanakan. Segala-galanya boleh dibuktikan. Janji pembangkang tidak dikotakan. Apapun, kebelakangan ini pembangkang mendapat ruang untuk membuat penjelasan berikutan beberapa isu yang dibangkitkan BN.

Lebih banyak tuduhan dibuat kepada pembangkang, lebih ramai orang ingin tahu keadaan sebenar. Ia sebenarnya membuka ruang untuk mereka mengadakan perhimpunan untuk memberi penjelasan terhadap isu yang dibangkitkan.

Jika menimbulkan sesuatu isu terhadap pembangkang, rakyat juga ingin mendengar penjelasan pembangkang. Dalam politik, ini adalah antara sebab perhimpunan politik yang mereka anjurkan menarik ramai kehadiran semata-mata hendak mendengar penjelasan berhubung isu yang dibangkitkan.

Memanglah seronok mendengar penjelasan daripada pembangkang yang diputarbelitkan. Tetapi, jika pendengar percaya penjelasan mereka, ia boleh memberi kesan timbal balik negatif. Apabila ada isu atau pembongkaran salah laku mengenai pembangkang, tindakan segera perlu dilakukan.

Tidak guna mendesak pencuri supaya mengaku dia adalah pencuri. Tidak ada pencuri yang mahu berbuat demikian. Sekalipun ada video yang menunjukkan dia sedang mencuri pun, dia masih tidak mengaku, inikan pula jika bukti belum pun dibawa ke tengah.

Rasanya tidak perlulah membuang masa mendesak pencuri membuat pengakuan seperti itu. Jika ada bukti, jalankan siasatan dan bawa ke muka pengadilan. Begitu juga, tidak perlu mendesak orang dipercayai bersubahat supaya mengaku yang mereka bersubahat kerana tidak ada orang yang akan mengaku mereka bersubahat dengan sesuatu skandal jika ia boleh menjejaskan karakter mereka.

Pengakuan membawa maksud dilakukan secara sukarela. Jika ada bukti, siasat dan bawa ke muka pengadilan. — Berita Harian

* This is the personal opinion of the writer or publication and does not necessarily represent the views of The Malaysian Insider.